Anda di sini

KAReBA 2019 dijangka dihadiri 10,000 pengunjung

Advertisement
 DR. MOKHTAR (tengah) bersama sebahagian jawatankuasa induk KAReBA 2019 yang mengadakan sidang media di Pejabat Pusat Aduan Rakyat Parlimen Kalabakan pada petang Sabtu.
DR. MOKHTAR (tengah) bersama sebahagian jawatankuasa induk KAReBA 2019 yang mengadakan sidang media di Pejabat Pusat Aduan Rakyat Parlimen Kalabakan pada petang Sabtu.

TAWAU: Penganjuran Karnival e-Padaidi Bugis Sabah (KAReBA) 2019 yang akan berlangsung pada 26-28 Julai depan dijangka bakal dihadiri kira-kira 10, 000 pengunjung.

Program terbabit bakal berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT) serta dijadual akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Pengarah 1 KAReBA Dr Mokhtar Alwi berkata, keyakinan sasaran pengunjung itu berpandukan pengisian-pengisian menarik yang diatur sepanjang karnival terbabit.

Antaranya, perarakan kereta berhias, forum ekonomi, keusahawanan, persembahan kebudayaan dan makanan tradisi, persembahan artis terkenal tanahair dan sebagainya.

“Kita optimis KAReBA akan menjadi program berimpak tinggi untuk Daerah Tawau dan memberikan sumbangan besar terhadap pembangunan ekonomi warganya,” katanya.

Dr Mokhtar berkata, KAReBA dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Industri Bugis Sabah (DPIBS) bersama MPT dengan kerjasama lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bugis Sabah.

Antaranya, Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS), Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Malaysia (PRBM), Persatuan Kebajikan Bugis Sabah (PKBS 2012), Persatuan Leluhur Melayu Bugis Sabah (Kecapi) dan Persatuan Leluhur.

Serta, Persatuan Bugis Melayu Nusantara Wilayah Persekutuan Labuan (Nusantara), Persatuan Gabungan Anak Bugis Sabah (Lontara) dan Pertubuhan Komuniti Kampung Pasir Putih Baharu Tawau (Penggiat).

Mengulas lanjut, beliau berkata KAReBA adalah program skala besar yang diadakan untuk menyatukan orang Bugis Sabah di negeri ini melalui sebuah platform khusus.

“KAReBA juga kita sifatkan mampu menjadi wadah terbaik untuk kaum lain mengenali dengan lebih dekat Bugis Sabah yang mempunyai jati diri sebagai warganegara Malaysia.

“Melalui program ini, kita mahu menonjolkan orang Bugis Sabah berkongsi rasa gembira dan bahagia tinggal di Malaysia bersama kaum lain sebagai rakyat bebas merdeka.

“Malah, KAReBA menjadi landasan terbaik untuk Bugis Sabah mempromosikan peranan aktif dalam proses pembangunan negara meliputi pelbagai bidang,” katanya.

Menurutnya, penganjuran KAReBA juga disifatkan bertepatan usaha agresif Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mempromosikan Cuti-Cuti Tawau 2019.

Beliau optimis KAReBA yang disasarkan menjadi acara tahunan mampu menjelma sebagai tarikan baharu Daerah Tawau menarik kehadiran pelancong luar negara.

“Kita juga mahu menjadikan program ini sebagai daya usaha untuk mempromosikan penggunaan terma Bugis Sabah sebagai merujuk kepada orang Bugis di negeri ini.

“Dalam konteks kenegaraan, orang Bugis diiktiraf sebagai orang Melayu dan beragama Islam, jika mengikut konsep pentadbiran Negeri Sabah pula orang Bugis tergolong sebagai Bumiputera Sabah.

“Kita mahu mempromosikan bahawa orang Bugis Sabah adalah merujuk kepada rakyat warganegara Malaysia berketurunan Bugis yang dilahirkan atau menetap di Sabah.

“Bugis Sabah adalah gelaran untuk membezakan antara orang Bugis Sabah dengan orang Bugis yang berada di Sarawak, Semenanjung, Sulawesi atau dari wilayah lain,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement