TAWAU: Hubungan akrab Pasukan Polis Marin (PPM) dengan pengamal media massa arus perdana disifatkan sangat penting di dalam mewar-warkan kisah kejayaan mereka untuk pengetahuan orang ramai.
Pegawai Pemerintah PPM Tawau DSP Mohd Nazari Ismail teruja dengan tahap kerjasama yang ditunjukkan khususnya antara PPM Wilayah 4 Sabah dengan media.
“Selama tiga bulan mengetuai PPM Tawau, saya dapat lihat keakraban kerjasama media dengan pentadbiran Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali.
“Saya mewakili PPM Tawau berterima kasih dengan kerjasama baik warga media dan berharap hubungan ini lebih akrab dan ditingkatkan lagi pada masa hadapan,” katanya.
Nazari berkata demikian semasa ditemui dalam majlis rumah terbuka sempena Pesta Kaamatan, Pesta Gawai dan Hari Raya Aidilfitri di Markas Operasi PPM Tawau, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berharap orang ramai terutamanya pengendali-pengendali bot supaya sentiasa mematuhi peraturan dan prosedur undang-undang yang ditetapkan.
“Tawau adalah pintu masuk dan keluar utama ke negara jiran khususnya di Pulau Sebatik, justeru kita juga berharap supaya orang ramai sentiasa menyalurkan sebarang maklumat.
“Khususnya berkaitan salah laku atau kegiatan penyeludupan dan sebagainya, kerana jika kita menerima maklumat awal, tindakan pantas dapat diambil oleh PPM,” katanya.
Menurutnya, PPM termasuk PPM Tawau sentiasa komited bertugas walaupun pada musim perayaan dan menjalankan rondaan 24 jam setiap hari mengawasi perairan negara.
Menyentuh mengenai rumah terbuka yang diadakan pula, beliau merakamkan penghargaan dengan semua tetamu mereka kerana hadir memeriahkan majlis terbabit.
“Kita berterima kasih dengan kehadiran Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Jabatan Perhutanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, IPD Tawau dan jabatan lain.
“Kita berharap kehadiran semua tetamu seramai kira-kira 200 orang ke majlis kita ini akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim khususnya sesama agensi terlibat,” katanya.