Anda di sini

EERace bentuk warga pendidik aktif aktiviti pendidikan alam sekitar

Advertisement
 ARUNARNSIN bersama jawatankuasa penganjur dan para peserta EERace 22.
ARUNARNSIN bersama jawatankuasa penganjur dan para peserta EERace 22.

SANDAKAN: Penganjuran Kursus Pendidikan Alam Sekitar untuk Guru-Guru Sekolah Rendah Negeri Sabah yang juga dikenali sebagai EERace merupakan antara penyumbang ke arah membentuk warga pendidik yang aktif dalam aktiviti pendidikan alam sekitar.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Arunarnsin Taib berkata, Sabah dikenali sebagai negeri yang sangat aktif dan mampan dalam pendidikan alam sekitar.

Namun hakikatnya, beliau berkata apabila bersama masyarakat, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki terutamanya dari segi penguatkuasaan undang-undang yang lebih menyeluruh bagi menyokong dasar kesedaran pendidikan alam sekitar yang telah dibentuk di peringkat sekolah.

Sehubungan itu, beliau berharap melalui penganjuran EERace serta program seumpama dapat melahirkan warga pendidik bersemangat waja yang bakal mendidik pelajar sekolah sekaligus membentuk Sabah menjadi negeri yang bersih dan indah.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan EERace 22 Experience the Heart of Borneo Edition 2019 di Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC) dekat sini pada Jumaat.

Seramai 36 guru sekolah rendah yang membentuk enam kumpulan telah menyertai EERace pada edisi kali ini yang berlangsung selama enam hari dengan setiap kumpulan dibahagi-bahagikan kepada beberapa lokasi berbeza untuk membuat tugasan.

EERace kali ini dilaksanakan bersama empat ahli Sabah Environmental Education Network (SEEN) iaitu Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Hidupan Liar dan Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo.

Sementara itu, Ketua Konservator Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Mashor Mohd Jaini berkata pihaknya telah berusaha memberikan kesedaran mengenai kepentingan mengurus hutan di negeri ini.

Katanya, salah satunya adalah penubuhan RDC, sebagai pusat pendidikan alam sekitar.

Jelasnya, jabatan itu melalui RDC bukan sahaja menganjurkan program berkaitan perhutanan semata-mata, tetapi telah bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti ahli-ahli SEEN dan WWF-Malaysia untuk menjayakan program alam sekitar termasuk program penghijauan sekolah.

Selain itu, katanya RDC juga menubuhkan "Sepilok Junior Ranger" yang terbuka kepada anak-anak kakitangan Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar yang mana mereka diberi pendedahan dan pembelajaran mengenai pendidikan alam sekitar serta dilatih untuk mengurus dan menganjur aktiviti-aktiviti seperti persidangan dan perkhemahan.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Konservator Hutan (Perancangan Sektor Hutan), Frederick Kugan.

  • oleh
  • Advertisement