Anda di sini

Projek IKI WWF Indonesia tingkat pendapatan pekebun getah

Advertisement
 Sebahagian daripada kawasan penanaman getah di Desa Mentawit, Hulu Gurung yang terlibat dalam Projek IKI, WWF Indonesia.
SUBUR: Sebahagian daripada kawasan penanaman getah di Desa Mentawit, Hulu Gurung yang terlibat dalam Projek IKI, WWF Indonesia.

PROJEK Inisiatif Iklim Antarabangsa (IKI) yang diperkenalkan WWF Indonesia berjaya meningkatkan pendapatan kelompok pekebun getah di daerah kecil Hulu Gurung dalam kawasan Kapuas Hulu di Kalimantan, Indonesia.

Projek ini mula diperkenalkan pada awal 2018 melibatkan kelompok pekebun getah dari tiga desa dalam kawasan Hulu Gurung iaitu Desa Mentawit, Desa Kelakar dan Desa Lubuk Antuk.

Menurut Penolong Projek IKI Kalimantan, WWF Indonesia Maria Theresia, lebih 90 peratus masyarakat di kawasan Hulu Gurung merupakan pekebun getah.

Melihat kepada potensi tanaman getah di kawasan ini, WWF katanya dengan kerjasama Badan Perencanaan Pembangunan Daerah (BAPPEDA) Kapuas Hulu membantu kelompok pekebun ini dalam penanaman getah menggunakan standard sistem kawalan dalaman (ICS).

 Peserta kelompok pekebun getah Desa Mentawit, Fernandes menoreh di kebun miliknya yang telah dipersijilkan dengan standard ICS di bawah Projek IKI, WWF Indonesia.
KERJA KERAS: Peserta kelompok pekebun getah Desa Mentawit, Fernandes menoreh di kebun miliknya yang telah dipersijilkan dengan standard ICS di bawah Projek IKI, WWF Indonesia.
BAHARUDIN
BAHARUDIN

“Standard ICS merupakan jaminan kualiti bahawa getah yang dihasilkan adalah berkualiti serta mematuhi piawaian kebersihan.

“Setakat ini 200 hektar kawasan tanaman getah dalam kawasan Hulu Gurung telah dipersijilkan dengan ICS melibatkan 300 kelompok pekebun dari tiga desa ini.

“Matlamat kita dan BAPPEDA adalah untuk menjadikan kawasan Hulu Gurung ini sebagai daerah pengeluaran getah berkualiti dan memperluaskan ke daerah-daerah lain di Kapuas Hulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimatnya bersama  wartawan dari Sarawak sebelum dibawa melawat ke stor penyimpanan getah di Desa Kelakar dan kebun getah di Desa Mentawit.

Sementara itu, Ketua Kelompok Pekebun Getah Desa Kelakar Sapardi berkata, sebelum menyertai IKI harga getah adalah tidak menentu dan ia sangat rendah antara 6,000 rupiah hingga 7,000 rupiah sekilogram.

Justeru katanya, masyarakat Desa Kelakar ingin membuat perubahan dengan membentuk sebuah kelompok pekebun yang lebih terancang dengan bimbingan WWF Indonesia.  

“Penggunaan standard ICS ini menampakkan perubahan harga getah dari dulunya hanya 6,000 rupiah kepada 8,500 rupiah dan kini mencecah 9,500 rupiah sekilogram.

“Sejak memulakan inisiatif ini pada November 2018, kami telah melakukan dua kali penjualan dengan penjualan pertama sebanyak satu tan (140 kilogram) dan penjualan kedua satu tan setengah (200 kilogram),” katanya.

Tambah Sapardi, inisiatif ini bukan sahaja berjaya meningkatkan pendapatan pekebun getah di desa ini malah turut memelihara serta memulihara persekitaran alam semula jadi di desa ini.  

Sementara itu, Hazwarli wakil syarikat pemprosesan getah terbesar Indonesia, Kumpulan Kirana Megatara berkata kualiti getah yang dihasilkan oleh para pekebun dari tiga desa itu sangat bagus selepas inisiatif ini diperkenalkan.

“Sejak inisiatif ini dilaksanakan, kami sudah membuat dua transaksi jual beli susu getah kering daripada kelompok pekebun ini.

“Kualitinya sangat bagus dan ada peningkatan dari segi jualan daripada satu tan pada penjualan pertama kepada satu tan setengah untuk penjualan kedua.

“Bagi pihak syarikat, kami amat menyokong inisiatif yang dibawa oleh WWF kepada kelompok pekebun ini untuk jaminan getah yang berkualiti,” katanya.

 Theresia (kanan) memberi taklimat kepada wartawan dari Sarawak sebelum dibawa melawat ke kebun getah dan stor penyimpanan di Desa Kelakar dan Desa Mentawit, Hulu Gurung, Kapuas Hulu.
TAKLIMAT: Theresia (kanan) memberi taklimat kepada wartawan dari Sarawak sebelum dibawa melawat ke kebun getah dan stor penyimpanan di Desa Kelakar dan Desa Mentawit, Hulu Gurung, Kapuas Hulu.

Pegawai Daerah Kecil Hulu Gurung Baharudin pula berkata projek IKI merupakan salah satu jalan keluar untuk kelompok pekebun di sini meningkatkan pendapatan mereka.

“Kami berharap dari tiga desa ini nanti, mereka  dapat berkongsi ilmu dengan desa-desa lain dan menarik minat pekebun lain untuk mengikuti cara kerja ini.

“Inisiatif ini tidak sukar, kerana masyarakat ini turun menurun menanam getah dan mereka cuma perlu mengubah cara kerja mengikut standard ICS,” katanya.

Dalam pada itu, projek IKI merupakan sebahagian daripada usaha WWF menyokong Projek Koridor Antara Sempadan Jantung Borneo atau Heart of Borneo (HoB).

Kawasan seluas dua juta hektar yang merangkumi bahagian utara Kalimantan Barat sehingga ke bahagian tengah Sarawak telah dikenal pasti untuk HoB.

Projek ini bertujuan membangunkan konsep pengurusan ekonomi hijau yang mempromposikan penggunaan dan pengeluaran hasil sumber alam sekitar yang mesra alam ke arah ekonomi hijau.

 Sapardi (berdiri, kiri) dan peserta kelompok pekebun getah dari Desa Kelakar menyimpan susu getah kering berkualiti di stor penyimpanan di Desa Kelakar untuk dijual kepada syarikat pembeli.
SIMPAN: Sapardi (berdiri, kiri) dan peserta kelompok pekebun getah dari Desa Kelakar menyimpan susu getah kering berkualiti di stor penyimpanan di Desa Kelakar untuk dijual kepada syarikat pembeli.
  • oleh
  • Advertisement