Anda di sini

Pengurusan Sawit Kinabalu masih dalam keadaan baik

Advertisement
SHAFIE (empat kiri) bersama Shuryani (lima kiri) dan tetamu kehormat yang lain merakam gambar kenangan dengan sebahagian warga Kumpulan Sawit Kinabalu pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya berkenaan.
SHAFIE (empat kiri) bersama Shuryani (lima kiri) dan tetamu kehormat yang lain merakam gambar kenangan dengan sebahagian warga Kumpulan Sawit Kinabalu pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya berkenaan.

KOTA KINABALU: Pengurusan dan pentadbiran Syarikat Sawit Kinabalu masih dalam keadaan baik, meskipun berdepan harga pasaran sawit yang tidak menentu.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ketidaktentuan harga pasaran minyak sawit yang berlaku kebelakangan ini sudah biasa dihadapi oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan.

"Apa yang penting kepada kita adalah bagaimana kita mahu memastikan penurunan dari segi hasil ini, kita boleh sedikit sebanyak mengimbanginya dengan pembabitan sektor lain yang boleh menjana pendapatan.

"Kita akan perhalusi dari segi aspek ini... apa yang penting adalah Sawit Kinabalu iaitu kepunyaan Kerajaan Negeri sentiasa beroperasi dengan baik dan lancar," katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kumpulan Sawit Kinabalu di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, kerajaan juga sedang berusaha merancakkan lagi aktiviti hiliran dengan membina beberapa kilang minyak masak.

Katanya, kegunaan sawit akan dikaji secara menyeluruh sekali gus menambah nilai keluaran dan kualiti minyak di negeri ini.

"Tapi ia akan mengambil masa sedikit untuk melaksanakan. Malah, pokok sawit juga boleh digunakan sebagai satu produk perkayuan jika sudah matang iaitu maksimum 21 tahun.

"Lepas kita tebang, kita juga akan lihat bagaimana pokok sawit ini akan menjadi papan lapis dan lain-lain yang sememangnya ada kegunaan tersendiri," katanya.

Terdahulu, ratusan warga kumpulan Syarikat Sawit Kinabalu bersilih ganti hadir pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya yang diadakan di sebuah resort terkenal di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Ketua Menteri Datin Seri Shuryani Shuaib dan Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Masri Pudin.

  • oleh
  • Advertisement