Anda di sini

‘Avengers: Endgame’ kembali semula ke pawagam dengan bahan bonus

MARVEL mengumumkan rancangan pada Selasa untuk mengeluarkan semula ‘Avengers: Endgame’ dengan bahan bonus di pawagam, ketika filem blockbuster terbesar pada musim panas ini nyaris memecah rekod ‘box office’ global.

‘Endgame’ telah mengaut AS$2.749 bilion di seluruh dunia, menurut pemerhati industri Exhibitor Relations – pungutan kedua tertinggi sepanjang zaman, ketinggalan sebanyak AS$40 juta di belakang filem arahan James Cameron ‘Avatar’.

Namun bermula Jumaat, Marvel berharap untuk menarik balik peminat tegar ke pawagam bagi tontonan terakhir ‘Endgame’ dengan satu “babak yang dipadamkan dan belum selesai” selain pengenalan video baharu oleh pengarah Anthony Russo.

Peminat yang menghadiri apa yang disebut oleh Marvel sebagai ‘acara Bring Back’ di pawagam khusus di Amerika Syarikat juga akan menerima hasil seni edisi terhad Avengers – satu kenyataan dalam laman sesawang syarikat yang mengumumkan langkah itu memaparkan sebuah poster dengan kata-kata Tony Stark ‘We Love You 3000’.

“Jika mereka dapat melakukan pengeluaran semula ini dan menarik cukup banyak minat dan mengeluarkannya dengan cukup lama, siapa tahu – mungkin ia dapat sampai ke sana,” kata Paul Dergarabedian dari Comscore, yang merujuk kepada rekod ‘Avatar’.

Namun publisiti daripada pengeluaran semula itu juga akan membantu untuk mempromosikan pengeluaran ‘Spider-Man; Far From Home’ pada bulan depan, tambahnya.

Filem terakhir Spider-Man merupakan kolaborasi di antara dua studio yang bersaing, Sony dan Marvel milik Disney, dan menyambung cerita selepas peristiwa dalam ‘Endgame’.

“Sneak peak” khas bagi filem itu juga akan dimasukkan ke dalam filem ‘Endgame’ yang dikeluarkan semula.

“Ini hanya meneruskan keajaiban Marvel dalam begitu banyak cara,” kata Dergarabedian.

Walaupun peminat Marvel begitu teruja mengenai pengeluaran semula filem hit terbesarnya, ‘Endgame’ sebenarnya tidak pernah keluar dari teater – ia masih ditayangkan di 985 lokasi di seluruh Amerika Utara pada hujung minggu lepas, dan mengaut $2 juta lagi.

Ia sudah memegang rekod bagi hujung minggu pembukaan tertinggi, baik di Amerika Utara mahupun pada peringkat global.

Namun peluang ‘Endgame’ untuk memecah rekod ‘box office’ sepanjang zaman di Amerika Utara nampak lebih tipis – ia masih ketinggalan sebanyak $100 juta pada peringkat domestik di belakang ‘Star Wars: The Force Awakens’. — AFP