Anda di sini

Gambar bapa, anak lemas di sempadan AS-Mexico cetus kemarahan

Advertisement
Gambar memilukan seorang bapa dan anaknya yang lemas ketika menyeberangi Rio Grande - Gambar AFP/STR

WASHINGTON: Gambar seorang bapa bersama anaknya warga Salvador yang lemas ketika menyeberangi Rio Grande di sepanjang sempadan Amerika Syarikat (AS)-Mexico "amat mengejutkan dan mencetuskan kemarahan", lapor agensi berita Anadolu.

Ketua Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Henrietta Fore dalam satu kenyataan berkata, "imej itu sangat menyayat hati" dan sebagai "peringatan mengenai bahaya yang perlu diharungi migran untuk sampai ke AS."

Gambar memilukan itu menunjukkan anak perempuan Oscar Alberto Martinez Ramirez, Valeria memeluk erat bapanya ketika mayat mereka ditemui di sungai berkenaan.

Presiden Donald Trump awal Rabu menyalahkan pihak Demokrat di atas apa yang berlaku, menggesa undang-undang pengampunan AS dipinda bagi mengelakkan bencana di masa depan.

"Andai undang-undang diperbaharui, tragedi itu tidak akan berlaku. Mereka menyeberangi Rio Grande, sungai yang beraliran deras dan berbahaya," kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih sebelum berlepas ke Jepun untuk menghadiri sidang kemuncak G-20.

Ramirez memutuskan untuk menyeberangi Rio Grande selepas permohonan suakanya ditolak pegawai sempadan AS, menurut laporan akhbar Mexico, La Jornada yang pertama kali menerbitkan gambar itu. - Bernama 

Advertisement