Anda di sini

Tidak perlu pindahkan PUSPEN Kuching - Hasidah

Advertisement
Sharifah Hasidah melalukan ‘ngiling bidai’ sebagai simbolik merasmikan majlis tersebut.
Sharifah Hasidah melalukan ‘ngiling bidai’ sebagai simbolik merasmikan majlis tersebut.

KUCHING: Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kuching patut dikekalkan di Jalan Penrissen dan tidak perlu dipindahkan ke Penjara Puncak Borneo, kata Sharifah Hasidah Sayeeed Aman Ghazali.

Beliau yang merupakan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) berkata penghuni PUSPEN merupakan pelatih dan bukannya penjenayah seperti di penjara.

Justeru, beliau berpendapat dengan menaik taraf pusat pemulihan yang sedia ada kini adalah langkah terbaik agar pelatih dapat dipimpin dan diberikan kemahiran dengan lebih baik.

“Di sini adalah yang terbaik dan bukannya di sebelah penjara sebab anak-anak kita yang ada di sini (PUSPEN) bukannya penjenayah tetapi adalah pelatih yang boleh kita berikan kemahiran untuk mereka gunakan pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan sempena  Program Ngabang Raya di PUSPEN, hari ini.

Banyak program dirancang termasuk penanaman cili dan tembikai wangi menggunakan kaedah fertigasi yang kini di peringkat permulaan.

“Terdapat tapak tanaman fertigasi di sini yang sudah dapat dilihat dan kita difahamkan ada banyak program lain seperti krusus membaiki pendingin udara yang sudah mula dijalankan.

“Selain cili dan tembikai, kita juga mencadangkan program lain seperti ternakan madu kelulut dan penanaman nanas juga boleh dilaksanakan di sini (PUSPEN), “ jelasnya.

Sharifah Hasidah dalam majlis tersebut turut mengumumkan peruntukan geran sebanyak RM10,000 kepada PUSPEN.

“Beri sokongan kepada mereka, mereka bukan melakukan jenayah tetapi mereka hanya tersilap langkah dan kita bertanggungjawab membimbing mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelawat PUSPEN Kuching Tan Sri Dato Sri Abang Khalid Abang Marzuki turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada Pengarah PUSPEN Kuching Christopher Billy.
 

  • oleh
  • Advertisement