Anda di sini

Thailand, Sabah kukuhkan kerjasama

Advertisement
SHAFIE (kanan) dan Narong (kiri) berbincang mengenai peluang-peluang pelaburan di negeri ini.
SHAFIE (kanan) dan Narong (kiri) berbincang mengenai peluang-peluang pelaburan di negeri ini.

KOTA KINABALU: Hubungan baik Thailand dan Malaysia khususnya Sabah mampu mengukuhkan kerjasama erat di antara kedua negara.

Duta Besar Thailand ke Malaysia TYT Narong Sasitron berkata, Thailand berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Sabah melalui pembukaan peluang perniagaan dan pelaburan di negeri ini.

“Kami mahu mengukuhkan lagi integrasi dengan Sabah di samping mencari ruang dan peluang perniagaan serta pelaburan di sini selain bekerjasama dalam bidang lain.

"Pada masa ini, kita mempunyai pelaburan di Sandakan dalam beberapa bidang agrikultur seperti perikanan dan perladangan yang mana ia telah beroperasi lebih kurang 20 tahun dan menawarkan ratusan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

"Selain itu, kita juga mempunyai kerjasama dalam bidang minyak dan gas di Sabah dan Sarawak, dan kita berharap kerjasama ini dapat dipertingkatkan dalam bidang automotif, perabot, pelancongan, perhotelan dan sebagainya," ujarnya

Dalam pada itu, Narong turut berkata Thailand akan mengadakan pameran perdagangan dan seminar perniagaan yang bakal disertai 15 hingga 20 syarikat yang berminat untuk melabur di Sabah pada 21 Ogos depan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di pejabatnya pada Selasa.

Advertisement