Anda di sini

Projek rakyat diteruskan

Advertisement
 Abang Johari bersama Dr Sim (dua kanan), Lo (dua kiri), Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Abu Bakar Marzuki (tiga kanan) dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Bakrie Zaini (kiri) menunjukkan lakaran projek pembangunan Tebingan Sungai Batu Kawa, semalam. — Gambar Chimon Upon
PEMBANGUNAN UNTUK RAKYAT: Abang Johari bersama Dr Sim (dua kanan), Lo (dua kiri), Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Abu Bakar Marzuki (tiga kanan) dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Bakrie Zaini (kiri) menunjukkan lakaran projek pembangunan Tebingan Sungai Batu Kawa, semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerajaan negeri akan terus melaksanakan projek pembangunan yang telah ditarik balik oleh kerajaan persekutuan dengan menggunakan dananya sendiri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan projek berkenaan amat penting memandangkan ia adalah janji kepada rakyat yang perlu ditunaikan meskipun kerajaan pusat telah bertukar.

“Misalnya, projek pembinaan Tebingan Batu Kawa ini yang pada mulanya adalah projek kongsi antara kerajaan persekutuan dan negeri dengan pembiayaan 50-50, namun selepas pilihan raya umum lepas kerajaan persekutuan telah bertukar dan projek ini terjejas.

“Saya dan rakan-rakan (kabinet) membuat keputusan bahawa projek yang ditarik balik kerajaan pusat, kerajaan negeri akan teruskan dengan menggunakan dana sendiri termasuk projek Tebingan Sungai Batu Kawa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Rakyat: Tebingan Sungai Pekan Batu Kawa yang dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa Datuk Dr Sim Kui Hian di sini, semalam.

Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai cara tersendiri untuk membiayai semua projek berkenaan termasuk hasil daripada cukai jualan yang dikenakan terhadap produk minyak dan gasnya.

“Kita dapat melakukannya bukan kerana kita mahu bermegah, tetapi ia semuanya adalah atas kehendak rakyat demi pembangunan mereka.

“Apabila negeri kita ada pendapatan, maka kita harus memberi balik hasilnya kepada rakyat menerusi pembangunan,” katanya.

Mengenai projek pembangunan Tebingan Sungai Batu Kawa katanya, ia merupakan sebahagian daripada pembangunan projek yang menelan kos keseluruhan kira-kira RM10 juta.

Abang Johari berkata, projek itu terbahagi kepada dua fasa yang mana fasa pertama sedang dijalankan, manakala fasa kedua termasuk cadangan pembinaan Taman Tanah Bencah.

“Batu Kawa ini mempunyai nilai sejarahnya sendiri dan dengan perancangan pembinaan Tebingan Sungai Batu Kawa, ia pastinya menjadi tempat perhentian para pelancong nanti yang terus dihubungkan hingga ke Tebingan Siniawan.

“Saya turut menyokong cadangan daripada Dr Sim dan Lo Khere Chiang (Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan) mengenai Taman Tanah Bencah di sini sebagai fasa kedua projek nanti,” katanya.

Sementara itu, Dr Sim dalam ucapannya berkata, pembinaan Tebingan Sungai Batu Kawa sepanjang 800 meter yang sedang dalam pembinaan akan menjadi mercu tanda di kawasan berkenaan.

“Bukan itu sahaja, apabila siapanya projek ini, ia menjadi mercu tanda bukan sahaja kepada Batu Kawa, tetapi juga Kuching memandangkan ia berdekatan dengan bandar raya.

“Namun apa yang penting, pembinaan projek ini akan membuka peluang serta membantu meningkatkan ekonomi penduduk setampat,” tegasnya.

Dr Sim pada masa yang sama memohon kepada Abang Johari agar turut mempertimbangkan pembinaan rumah mampu milik yang beliau umumkan di kawasan Batu Kawa.

Jelasnya, ini memandangkan populasi termasuk generasi muda di kawasan itu semakin berkembang dan mereka pastinya memerlukan kediaman dengan harga mampu dimiliki.

  • oleh
  • Advertisement