Anda di sini

PM Sri Lanka lancar kilang minyak pelincir milik rakyat Malaysia

Advertisement
 Hazimah bersama Wickremesinghe (tiga kanan) ketika melihat proses pembungkusan minyak pada majlis pembukaan kilang pembuatan minyak pelincir Hyrax Oil di Muthurajawela, Sri Lanka di Colombo, kelmarin. — Gambar Bernama
MEMBUAT TINJAUAN: Hazimah bersama Wickremesinghe (tiga kanan) ketika melihat proses pembungkusan minyak pada majlis pembukaan kilang pembuatan minyak pelincir Hyrax Oil di Muthurajawela, Sri Lanka di Colombo, kelmarin. — Gambar Bernama

COLOMBO: Ia merupakan hari yang penting bagi Malaysia dan Sri Lanka dengan kehadiran ramai orang kenamaan Sri Lanka diketuai Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe yang melancarkan kilang minyak pelincir campuran bernilai US$30 juta milik rakyat Malaysia di sini pada lewat Isnin.

Majlis pembukaan penuh gilang gemilang kilang di Muthurajawela itu tepat pada masanya sebagai pencetus semangat selepas dua bulan diselubungi kesedihan oleh serangan pengebom bunuh diri pada sambutan Easter pada Ahad di beberapa tempat yang telah meragut nyawa 258 orang di negara pulau itu.

Kilang itu, milik Hyrax Oil Sdn Bhd dan dibiayai menerusi pinjaman daripada Exim Bank Berhad, Malaysia, menandakan penyambungan semula pelaburan di Sri Lanka oleh pelabur Malaysia selepas sejak sekian lama tiada aktiviti itu dan merupakan pelaburan asing pertama daripada Malaysia sejak kerajaan semasa mengambil alih kuasa empat tahun lepas di bawah Presiden Maithripala Sirisena dan Wickremesinghe.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Wickremesinghe memberi penghargaan kepada pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Hyrax Oil, Datuk Hazimah Zainuddin, yang datuknya merupakan warga Sri Lanka yang berasal dari Wilayah Gall.

Hazimah juga merupakan pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), entiti penting yang menyalurkan pinjaman untuk membiayai perusahaan kecil dan sederhana.

“Datuk beliau berasal dari Gall dan kini cucunya kembali untuk melabur di Sri Lanka yang akan meningkatkan hubungan perdagangan dan kebudayaan antara kedua-dua negara kita,” kata perdana menteri sambil disambut sorakan daripada kalangan tetamu yang hadir termasuk menteri, timbalan menteri, gabenor wilayah dan ahli parlimen.

Wickremesinghe berkata, selepas serangan pengganas pada sambutan Easter baru-baru ini, beliau telah bertemu dengan banyak delegasi perdagangan dari Hong Kong, Taiwan dan Malaysia dan ini menunjukkan mereka tetap yakin dengan potensi Sri Lanka untuk pelaburan.

“Di masa lalu, banyak negara seperti Malaysia dan Singapura berada di belakang di Sri Lanka dari segi pembangunan, tetapi disebabkan perang yang kami hadapi selama 35 tahun, negara berkenaan membangun dan berkembang maju mengatasi kami. Oleh itu, kami memikul banyak tanggungjawab untuk memastikan kepimpinan yang betul diberikan kuasa demi pembangunan negara,” katanya, merujuk kepada perang saudara dilancarkan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) bagi mendapatkan tanah air sendiri di Utara Timur Laut yang akhirnya tamat 10 tahun lepas.

Wickremesinghe turut menegaskan apabila kerajaan pimpinannya berkuasa, ekonomi Sri Lanka berada dalam keadaan teruk disebabkan terlalu banyak pinjaman dibuat oleh kerajaan terdahulu yang perlu dibayar.

“Kami tidak mempunyai wang untuk membyar pinjaman berkenaan tetapi atas usaha gigih dilakukan oleh kerajaan, kami mampu membayar balik dalam keadaan bersusah payah. Kami terpaksa melalui masa sukar dan rakyat di negara ini berdepan banyak kesulitan pada masa itu,” kata Wickremesinghe.

Tetapi, katanya perancangan digariskan dan dilaksanakan untuk memastikan rakyat Sri Lanka mempunyai masa depan yang baik.

Beliau turut mendedahkan kerajaan telah menukar banyak undang-undang untuk meningkatkan lagi keyakinan pelabur hasil daripada maklum balas yang diterima daripada banyak pelabur di banyak negara mengenai kewujudan undang-undang yang tidak mesra pelabur.

Hazimah dalam ucapannya turut mengakui beliau merupakan ‘generasi ketiga keturunan Sri Lanka’, menyatakan pelaburan Hyrax Oil di negara itu adalah untuk jangka panjang dan kilang itu akhirnya akan diuruskan sepenuhnya oleh warga Sri Lanka menerusi perpindahan teknologi oleh warga Malaysia.

Daripada sifar perkongsian dalam pasaran minyak pelincir Sri Lanka yang berkembang pesat, Hyrax Oil yang memasarkan produknya di bawah jenama ‘Ceypetco’ susulan kerjasamanya dengan syarikat minyak kebangsaan Sri Lanka, Ceylon Petroleum Corporation, kini meraih perkongsian pasaran ketiga terbesar.

Beliau berkata kilang yang baru dibuka itu akan menjadikan Sri Lanka sebagai hab pasaran produk minyak pelincir kepada negara Pertubuhan Kerjasama Serantau Asia Selatan (SAARC).

SAARC dianggotai India, Pakistan, Bangladesh, Nepal, Bhutan dan Maldives di samping Sri Lanka.

Hazimah turut memberi penghargaan kepada beberapa pemimpin bagi kejayaan syarikatnya beroperasi di Sri Lanka, termasuk Menteri Lebuh Raya, Pembangunan Jalan Raya dan Pembangunan Sumber Petroleum Kabir Hashim dan bekas Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia A.J.M. Muzammil.

Selepas berkhidmat di Kuala Lumpur, Muzammil dilantik Gabenor Wiayah Barat Sri Lanka.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Exim Bank Berhad, bank yang mesra kepada kilang kami di Sri Lanka. Dengan sokongan menggalakkan dan kesabaran bank ini, kami berharap kami di Hyrax Oil akan dapat mengeksport teknologi ciptaan anak tempatan Malaysia dan kepakaran kepada lebih banyak bahagian di dunia,” katanya. — Bernama

Advertisement