Anda di sini

Pelajar AS disabit bunuh pelawat China

Advertisement
 Gambar fail 12 Jun lalu menunjukkan Lifeng Ye (tengah) dan Zhengyang Zhang (kiri), masing-masing ibu dan abang Zhang tiba di mahkamah ketika perbicaraan Christensen bermula. — Gambar AFP
PERBICARAAN: Gambar fail 12 Jun lalu menunjukkan Lifeng Ye (tengah) dan Zhengyang Zhang (kiri), masing-masing ibu dan abang Zhang tiba di mahkamah ketika perbicaraan Christensen bermula. — Gambar AFP

WASHINGTON: Bekas pelajar graduan di sebuah universiti AS didapati bersalah kelmarin dalam penculikan dan pembunuhan kejam seorang pelajar China yang melawat.

Brendt Christensen mungkin berdepan hukuman mati, dengan perbicaraan hukuman dijangka bermula pada bulan depan.

Pihak juri persekutuan telah berbincang selama kurang dari dua jam sebelum mensabitkan pemuda berusia 29 tahun, yang mana peguamnya sendiri mengakui sepanjang perbicaraan yang dikawal rapi bahawa anak guamnya telah bertanggungjawab bagi kematian Zhang Yingying.

Christensen telah menculik Zhang pada Jun 2017 di sebuah perhentian bas berhampiran kampus Universiti Illinois di Champaign, sebuah bandar kecil dikelilingi oleh tanah perladangan.

Pihak pendakwa raya menyatakan dia telah mengumpan Zhang agar menaiki keretanya, sebelum mencekik dan memukul mangsa dengan kayu pemukul besbol, menikamnya dengan pisau dan memotong mayatnya bagi tujuan menghapuskan bukti.

Mayat mangsa tidak pernah ditemui.

Christensen telah disabitkan kerana menculik mengakibatkan kematian, termasuk dua tuduhan lain seperti berbohong kepada FBI, yang menyiasat kes berkenaan.

Perbicaraan menarik perhatian besar komuniti China di Illinois dan China.

Pihak berkuasa Beijing telah menghantar wakil konsular dan ahli keluarga mangsa yang datang dari China bagi menghadiri perbicaraan.

Sekelompok besar wartawan berkumpul di luar mahkamah Peoria, Illinois kelmarin ketika anggota keluarga Zhang yang menangis membacakan satu kenyataan.

Zhang yang baharu berusia 26 tahun, telah melawat Universiti Illinois bagi melakukan penyelidikan.

Christensen merupakan jurulatih pelajar graduan dalam bidang fizik.

Mahkamah telah mendengar rakaman rahsia yang dibuat bekas teman wanita Christensen di mana dia telah menceritakan secara terperinci bagaimana dia telah menyerang secara seksual dan membunuh Zhang.

Namun pihak peguam bela menyuarakan keraguan mengenai dakwaan Christensen dalam rakaman FBI, di mana dia turut menyatakan Zhang sebagai mangsanya yang ke-13, di sebalik tiada bukti yang ditemui bagi menyokongnya.

Dalam hujah penutup kelmarin pasukan pembelaan menyatakan Christensen sedang berdepan dengan masalah kesihatan mental dan isu melibatkan alkohol.

Keluarga Zhang turut memfailkan aduan sivil terhadap tertuduh dan terhadap dua pekerja sosial universiti yang telah mendengar cerita dari Christensen.

Pekerja tersebut dikatakan sebagai gagal untuk memaklumkan pihak berkuasa ketika Christensen menyebut mengenai idea membunuh dan bunuh diri serta obsesi terhadap pembunuh bersiri. — AFP

Advertisement