Anda di sini

Malaysia Airlines tetap kekalkan identitinya jika dijual: Dr M

Advertisement
 Dr Mahathir menyampaikan ucapannya pada sidang Meja Bulat Asia Pasifik Ke-33 di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
PEMBUKA TIRAI: Dr Mahathir menyampaikan ucapannya pada sidang Meja Bulat Asia Pasifik Ke-33 di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan ingin menjual Malaysia Airlines, tetapi identitinya sebagai syarikat penerbangan kebangsaan akan dikekalkan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan telah membuat banyak perubahan terhadap Malaysia Airlines, tetapi setiap kali ia masih gagal.

“Jadi, kali ini, kita perlu lebih berhati-hati dalam langkah-langkah yang akan diambil untuk memulihkan Malaysia Airlines.

“Ia bukan sekadar perubahan pengurusan, banyak perkara lain yang salah berkaitan syarikat penerbangan itu yang perlu diperbetulkan,” katanya kepada pemberita di luar Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai respons terhadap gesaan oleh dua veteran Malaysia Airlines, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif, untuk mengubah pengurusan syarikat penerbangan itu selepas kegagalannya bagi tahun kelima untuk mencapai kedudukan dalam 20 teratas dalam kaji selidik antarabangsa mengenai syarikat penerbangan.

Mereka berkata, Malaysia Airlines, yang turun dua tangga daripada tempat ke-36 dalam kaji selidik 100 Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia tahunan Skytrax, telah kehilangan kelasnya.

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) juga menggesa pengurusan Malaysia Airlines untuk berundur susulan berita bahawa syarikat penerbangan nasional itu gagal mencapai tempat dalam kalangan 20 teratas dalam kaji selidik 100 Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia untuk tempoh lima tahun.

Malaysia Airlines tidak tersenarai dalam 20 tempat teratas sejak 2014 selepas menduduki tempat ke-18, turun dari tempat ke-24 pada 2015 kepada ke-34 pada 2016, menduduki tempat ke-31 pada 2017 dan sekali lagi tempat ke-34 pada tahun lepas.

Sementara itu, mengulas mengenai pengunduran Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) selepas hanya 11 bulan memegang jawatan itu, Dr Mahathir berkata Megat Zaharuddin tidak sihat.

“Dia kurang sihat barang kali, dia kata dia tak sihat sebab itu dia minta supaya dilepaskan,” katanya. — Bernama

Advertisement