Anda di sini

Lihat isu keselamatan, kesihatan pekerjaan di semua hospital: Lee

Advertisement

KOTA KINABALU: Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye semalam mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan untuk melihat pelbagai isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang memberi kesan kepada kakitangan dan mereka yang menjaga pesakit di semua hospital.

Beliau berkata langkah itu akan membolehkan kementerian mencari kelemahan dan memperkenalkan penyelesaian KKP untuk menangani semua jenis kecederaan dan penyakit berkaitan pekerjaan di hospital awam dan swasta.

“Saya dimaklumkan antara isu KKP yang perlu ditangani ialah tahap kesedaran yang rendah dan kurangnya minat untuk belajar dan mengamalkannya di tempat kerja.

“Mereka yang berada dalam Jawatankuasa KKP juga tidak memahami dengan baik peranan mereka sementara sesetengah kakitangan langsung tidak mengetahui polisi KKP,” katanya pada sambutan Hari KKP Sedunia yang dianjurkan bersama oleh NIOSH Sabah dan Labuan dan Hospital Pakar KPJ Sabah di sini semalam.

Lee berkata terdapat juga kes kakitangan tidak mematuhi prosedur operasi standard termasuk keperluan untuk memakai peralatan perlindungan diri yang sesuai manakala kecederaan melibatkan jarum suntikan masih dilaporkan dalam kalangan kakitangan perubatan.

“Kerja di hospital boleh mendatangkan bahaya dan menurut Statistik Biro Buruh Amerika Syarikat, kemungkinan kecederaan atau penyakit lebih tinggi di hospital berbanding sektor pembinaan dan pembuatan,” katanya.

Di Amerika Syarikat sebagai contoh, beliau berkata hospital di negara itu mencatatkan 253,700 kecederaan dan penyakit berkaitan pekerjaan iaitu sebanyak 6.8 peratus mengalami gejala itu untuk setiap 100 pekerja sepenuh masa pada tahun 2011.

Kadar ini adalah hampir dua kali ganda kadar yang dicatatkan bagi industri swasta secara keseluruhannya, katanya.

Lee berkata hospital mempunyai bahaya serius terutama ketika kakitangan mengangkat dan mengalihkan pesakit dan mereka juga terdedah kepada kecederaan akibat jarum suntikan, tergelincir atau jatuh selain kemungkinan diserang oleh pesakit atau pelawat yang agresif.

“Saya percaya bahawa kakitangan hospital sedar bahawa mereka bekerja di salah satu tempat paling bahaya tetapi mereka mempunyai kewajipan untuk membantu pesakit dan ada yang sanggup mempertaruhkan keselamatan dan kesihatan mereka sendiri,” katanya.

Lee berkata kecederaan dan penyakit pekerjaan akan melibatkan kos yang tinggi apabila hospital perlu membayar pampasan dan kos perubatan apabila pekerja tercedera atau sakit.

Beliau berkata tahap keselamatan di tempat kerja juga akan menjejaskan pesakit kerana para petugas yang keletihan, cedera atau mengalami tekanan berisiko tinggi untuk melakukan kesilapan memberikan ubat serta menyebabkan jangkitan berlaku.

Lee juga berharap semua hospital dapat meningkatkan kesedaran mengenai kemalangan perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja kerana 554 kemalangan berkenaan melibatkan pelbagai kategori kakitangan di bawah Kementerian Kesihatan dari tahun 2014 hingga 2016.

Dilaporkan kemalangan paling tinggi melibatkan jururawat merupakan kumpulan tertinggi dengan 295 kes, diikuti pembantu perawatan kesihatan (91 kes), penolong pegawai perubatan dan pegawai perubatan (masing-masing 35 kes), pemandu (31 kes), pembantu penyediaan makanan (15 kes) dan lain-lain kategori jawatan (52 kes). — Bernama

Advertisement