Anda di sini

Kerajaan negeri ambil alih SeDidik mulai tahun hadapan

Advertisement
Fatimah pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPAKK di sini, hari ini.

KUCHING: Tadika dan taska SeDidik bakal diambil alih sebagai prasekolah di bawah kerajaan negeri menjelang tahun hadapan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata keputusan itu dibuat oleh kabinet negeri.

"Ia telah diluluskan kabinet negeri supaya menjadi prasekolah yang akan diletakkan di bawah kementerian kami selepas pengambilalihan.

"Satu perbadanan ditubuhkan untuk pengambilalihan SeDidik yang akan dibentangkan kepada kabinet nanti dan jika semua berjalan lancar, secara rasmi ia akan berkuat kuasa Januari 2020," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak (MPAKK) yang dihadiri Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus di sini, hari ini.

Menurut Fatimah sebagai permulaan, sebanyak 26 buah tadika dan taska SeDidik dikenal pasti untuk dinaik taraf dari segi premisnya.

Beliau memberitahu SeDidik mempunyai 83 tadika dan taska di seluruh negeri namun hanya 26 buah tadika dan taska yang dikenal pasti perlu dinaik taraf.

"Sebanyak 26 buah premis yang telah dikenal pasti dan bajet yang diperuntukkan bagi menaik taraf kesemuanya adalah RM1 juta.

"Kerja menaik taraf premis ini mengambil masa selama tiga bulan dimana sebaik sahaja tender dianugerah kerja-kerja menaik taraf dijangka dimulakan September," katanya.

Beliau memberitahu dengan tempoh berkenaan kerja menaik taraf dijangka siap awal tahun hadapan dan operasi pengambilalihan akan bermula.

Selain tumpuan kepada menaik taraf premis SeDidik, Fatimah memberitahu antara keutamaan lain selepas pengambilalihan adalah sumber tenaga pengajar yang berkelayakan.

Katanya sehubungan itu kementerian menyasarkan menjelang awal tahun hadapan kesemua guru di SeDidik mempunyai sekurang-kurangnya Diploma dalam Pendidikan dan Ijazah Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

"Buat masa ini saya dimaklumkan 63 peratus daripada guru tadika dan taska SeDidik mempunyai diploma dan ijazah sarjana muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak," katanya.

Fatimah berkata, SeDidik sebelum ini di bawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) tetapi sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sahaja.

Tujuan kerajaan negeri mengambil alih katanya untuk membantu SeDidik mencapai lebih lagi status kualiti pendidikan awal kanak-kanak.

  • oleh
  • Advertisement