Anda di sini

Kedudukan Sarawak kian genting

Advertisement
 Tugas berat menanti Sarawak apabila berkunjung menentang jirannya, Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.
PERLU MENANG: Tugas berat menanti Sarawak apabila berkunjung menentang jirannya, Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.

KUCHING: Kekalahan memalukan 1-3 di tangan UKM FC pada minggu lalu meletakkan kedudukan Sarawak kian genting dalam saingan Liga Premier yang semakin menghampiri kemuncaknya.

Selepas mengharungi 15 perlawanan, skuad kendalian Mohamad Denny Da’ail kekal tersadai di dasar liga dengan hanya mengumpul 10 mata.

Justeru, pertemuan dengan Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini perlu diterjemahkan kepada keputusan positif untuk mengeluarkan pasukan itu daripada zon penyingkiran.

Penolong Pengurus, Abang Fomay Abang Sa’adeli berkata pasukan Sarawak perlu menang ke atas jiran tetangganya, Sabah malam ini untuk kembali meletakkan mereka berada dalam zon selamat.

Di atas kertas, tugas itu akuinya cukup berat dengan lawan yang sedang menduduki kedudukan teratas liga itu memiliki segala bentuk kelebihan.

“Sukar memang sukar…namun jika semua pemain yakin dengan kemampuan sendiri, kemenangan ke atas Sabah bukan perkara mustahil.

“Apa yang penting, semua pemain harus meningkatkan corak permainan, lebih fokus dan tidak mensia-siakan setiap peluang yang dimiliki,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tegasnya, selepas kekalahan dengan UKM, pasukan telah membuat sedikit ‘post-mortem’ untuk melihat posisi yang perlu dipertingkatkan terutamanya di bahagian pertahanan yang masih rapuh.

Sementara itu, Denny mengesahkan pemain sayap, Nur Shamie Iszuan Amin tidak akan beraksi malam ini akibat demam.

Justeru, beliau tidak mempunyai pilihan kecuali sekali lagi menaruh harapan di bahu pemain baharu, Rodrigo Amorim Oliveira untuk menggalas posisi itu.

“Saya akan memberi Rodrigo peluang bermain di posisi ditinggalkan Nur Shamie dan berharap beliau menggunakan sebaiknya peluang itu,” katanya.

Tambah Denny, selain Nur Shamie beberapa pemain lain juga masih belum dapat diturunkan kerana belum cergas sepenuhnya.

“Beliau (Rodrigo) menunjukkan peningkatan mendadak semasa latihan dan mula faham apa yang pasukan kita mahukan,” kata Denny sambil berharap kombinasinya dengan Hudson Dias dan Bobby Gonzales dapat menjelmakan tiga mata penuh daripada perlawanan malam ini.

  • oleh
  • Advertisement