Anda di sini

Hina mahkamah: Dominique Ng tunggu keputusan rayuan

Advertisement
 


KUCHING: Ahli politik Dominique Ng yang dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM30,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal oleh Mahkamah Tinggi Miri atas kesalahan menghina mahkamah pada 2017, kini menunggu keputusan rayuan terhadap sabitan hukuman tersebut.

Ng yang diwakili peguam Arthur Lee dan Voon Lee Shan hari ini, menimbulkan isu perundangan penting di hadapan Mahkamah Rayuan di sini untuk membebaskan dirinya daripada hukuman tersebut.

Panel hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Abdul Rahman Sebli, Kamardin Hashim dan Mohamad Zabidin Mohd Diah memberitahu tarikh keputusan bagi permohonan rayuan Ng akan ditetapkan kemudian.

Kata Ng ketika dihubungi The Borneo Post: "Hujah-hujah lisan telah bermula semalam (Selasa) dan diteruskan hingga pagi ini bermula dari 9 hingga 10.20 pagi. Mahkamah Rayuan berkata isu yang dibangkitkan adalah besar dan mereka memerlukan masa untuk membuat keputusan."

Drama itu bermula pada tahun 2017 apabila Ng, juga seorang peguam, mewakili penduduk Kampung Haji Wahid berhubung kes pertikaian tanah NCR. Kampung Haji Wahid yang dimaksudkan terletak di Bukit Kanada, Miri dan penduduk kampung mendakwa tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan sekitar telah diberi hak kepada anak syarikat Samling iaitu Pantai Bayu Indah Sdn Bhd.

Pada 6 Mac 2017, anak guamnya meminta kepada Ng untuk membuat permohonan melalui prosiding sivil supaya Hakim Mahkamah Tinggi Miri, Lee Heng Cheong menarik diri tetapi permohonan mereka akhirnya ditolak.

Ng kemudiannya didapati bersalah oleh hakim Mahkamah Tinggi lain, iaitu Hakim Dean Wayne Daly atas kandungan klip video tular ketika itu. Dalam video berkenaan, Ng dilihat sedang memberi taklimat kepada anak guamnya di luar bilik mahkamah mengenai perkara yang berlaku di dalam kamar Hakim Lee dan berkenaan afidavit yang menyokong permohonan penarikan hakim.

Hakim Dean Wayne mendapati beliau bersalah kerana menghina mahkamah pada 30 Mac 2017.

Keputusan Mahkamah Rayuan dikatakan sebagai faktor penentu kepada kerjaya politik Ng kerana sekiranya hukuman berkenaan dikekalkan, beliau tidak akan dapat bertanding dalam pilihan raya pada masa akan datang. Hal ini kerana undang-undang kini menyatakan seseorang itu tidak akan dibenarkan bertanding dalam mana-mana pilihan raya sekiranya dia didenda melebihi RM2,000.

Ng, bekas ketua PKR Sarawak dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Padungan, kali terakhir dilihat bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri 2011 di kerusi itu dengan menggunakan simbol Bunga Raya.

Namun, melalui undian, beliau dan Sim Kiang Chiok dari Barisan Nasional (BN) tewas kepada  Wong King Wei dari Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Ng juga merupakan seorang aktivis sosial dan merupakan presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA).

Advertisement