Anda di sini

Harga barang mentah di Sabah masih berpatutan: Madeline

Advertisement

PENINGKATAN kos perbelanjaan rakyat sebahagian besarnya akibat daripada peningkatan pada harga barangan berbentuk keperluan, terutama makanan, perumahan dan bahan api.

Utusan Borneo berkesempatan meninjau dan merungkai sedikit isu berkenaan harga barang mentah yang membelenggu beban hidup rakyat di Sabah khususnya di bandaraya Kota Kinabalu.

MEDELINE
MEDELINE

Kebetulan, mantan Profesor Madya Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Madeline Berma sedang melaksanakan kajian berkaitan kos hidup yang menjadi isu hangat dibincangkan sejak kebelakangan ini.

Menerusi kajiannya itu, beliau menjalankan perbandingan harga barang mentah dengan memberi fokus di beberapa pasaraya besar di Kota Kinabalu.

Katanya, di Sabah terdapat dua pasar utama iaitu Pasar Besar Kota Kinabalu dan Pasar Am berdekatan Pasar Kraftangan Kota Kinabalu yang juga dikenali sebagai Pasar Filipina, menjadi tumpuan penduduk setempat bagi mendapatkan barangan mentah seperti sayur, ikan, daging, buah- buahan dan sebagainya.

"Isu yang menjadi tumpuan kajian saya ialah harga di pasar am adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan Pasar Besar Kota Kinabalu, malah penjual di sana menjual dalam kuantiti yang banyak.

"Bagi Pasar Besar Kota Kinabalu, harga barangan mereka tetap dan mahal sedikit jika dibandingkan pasar am yang mana  ia dikategorikan sebagai jualan tidak formal iaitu penjual di sana dikategorikan sebagai penjaja," katanya ditemui Utusan Borneo.

Tambahnya, perbezaan harga barang mentah antara kedua-dua pasar besar itu juga adalah dipengaruhi dari jenis sektor dan kos tempat yang disewa oleh penjual.

Katanya, barangan mentah yang dijual oleh penjaja di pasar am dilihat lebih murah  disebabkan lokasi jualan berbentuk sektor tidak formal.

PASAR BESAR KOTA KINABALU
PASAR BESAR KOTA KINABALU

Manakala, harga barangan mentah di Pasar Besar pula lebih mahal sedikit disebabkan penjual terpaksa mengambil kira kos tempat mereka menjual yang dibayar setiap bulan atau tahun.

Bagaimanapun, Felo Akademi Sains Malaysia itu tidak menafikan bahawa keseluruhan harga barangan mentah di Sabah masih murah dan berpatutan jika dibandingkan di Semenanjung Malaysia.

"Bagi saya, Sabah dari segi kos makanan mentah sangat murah berbanding negeri lain... namun, harga barangan itu akan setanding dengan harga di Semenanjung apabila ia sudah dimasak dan dijual.

"Hal ini kerana kos memproses barangan mentah dilihat tinggi dan ia sudah pasti menjadikan margin untung di Sabah lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia," katanya.

Ditanya mengenai kualiti pula, beliau yang kini berkhidmat sebagai Perunding dan Penganalisis Ekonomi di NuMind Plus berkata, kualiti barangan mentah di Sabah cukup segar dan kualiti tinggi jika dibandingkan di negeri Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

PASAR AM BERDEKATAN PASAR KRAFTANGAN KOTA KINABALU
PASAR AM BERDEKATAN PASAR KRAFTANGAN KOTA KINABALU

"Kebetulan, saya baru menjenguk pasar ikan di sini (Pasar Ikan Safma), saya lihat harga cukup murah dan macam baru ditangkap dari laut. Misal harga sotong sekilo di sini RM10, tetapi di Semenanjung, harga lebih dari itu iaitu anggaran RM24 bagi sekilo.

"Kualiti pula sudah pasti cukup segar sekali...orang Sabah sangat bertuah kerana mempunyai kekayaan hasil laut dan bumi yang cukup segar dan berkualiti tinggi," katanya.

  • oleh
  • Advertisement