Anda di sini

GPS tidak tunduk kepada politik kotor pembangkang

Advertisement
 Abang Johari memukul gendang sebagai simbolik perasmian majlis sambil disaksikan menteri-menteri kabinet dan pucuk pimpinan PBB dan GPS yang lain. — Gambar Chimon Upon
RASMI: Abang Johari memukul gendang sebagai simbolik perasmian majlis sambil disaksikan menteri-menteri kabinet dan pucuk pimpinan PBB dan GPS yang lain. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan tunduk kepada politik kotor pihak pembangkang yang cuba hendak menggugat kestabilan parti itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa dakwaan Sarawak bakal bankrap oleh Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng baru-baru ini taktik kotor parti itu bertujuan mengundang kebimbangan rakyat negeri ini.

“Apabila Menteri Kewangan berkata demikian semua orang akan was-was dengan ekonomi Sarawak...maklumlah nak bankrap. Apabila was-was, keyakinan pelabur juga hilang.

“Kalau tiada pelabur peluang pekerjaan tiada dan GPS akan dipersalahkan kerana tidak mewujudkan peluang pekerjaan. Kita tahu taktik mereka,” katanya berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri PBB Zon Kuching 2019 di sini malam kelmarin.

Abang Johari yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, DAP melakukan helah itu kerana mereka bimbang dengan keupayaan GPS dalam mentadbir ekonomi dan pembangunan Sarawak tanpa sokongan dan bantuan daripada kerajaan persekutuan.

“Apabila mereka (PH) mengambil alih kerajaan pusat, mereka fikir Sarawak akan teruk dan terpaksa meminta sedekah daripada kerajaan pusat.

“Tetapi kita anak Sarawak bukan pengemis, kita tahu apa yang harus dibuat...kalau mereka beri kita ambil, kalau tidak beri seperti projek jambatan kita buat sendiri. Inilah kekuatan para pemimpin PBB bersama rakan-rakan dalam GPS,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin dan ahli PBB untuk bekerja dengan lebih kuat bagi memastikan semua kerusi parti itu dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ini tegasnya penting bagi membolehkan segala agenda pembangunan yang telah dirancang dapat diteruskan.

“Kita tidak boleh sambil lewa dan kena kerja kuat untuk mempertahankan Sarawak kerana mereka (PH) di pihak kerajaan pusat.

“Jadi kita di PBB harus mempertahankan semua kerusi yang di bawah PBB. Bila PRN, saya tidak tahu tapi biarlah kita bersedia...kita tumpu dalam membantu rakyat,” katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, menteri-menteri kabinet serta pemimpin PBB dan GPS yang lain.

  • oleh
  • Advertisement