Anda di sini

Bekas hakim ketuai PPK siasat kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat

Advertisement
Muhyiddin (kanan) menyerahkan surat pelantikan kepada Pengerusi PPK kepada Abd Rahim pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan PPK ke atas Laporan Pendengaran Siasatan Awam SUHAKAM mengenai Kes Kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat di Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Gambar Bernama 
Muhyiddin (kanan) menyerahkan surat pelantikan kepada Pengerusi PPK kepada Abd Rahim pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan PPK ke atas Laporan Pendengaran Siasatan Awam SUHAKAM mengenai Kes Kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat di Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Gambar Bernama 

PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyiasat lebih lanjut kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat ditubuhkan dengan melibatkan enam anggota yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abd Rahim Uda.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media berhubung PPK itu di sini hari ini berkata pasukan itu akan menyiasat laporan Pendengaran Siasatan Awam Suhakam yang mendakwa Unit Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman terlibat secara langsung dengan kehilangan Koh dan Amri.

“Kementerian berpandangan laporan Suhakam mengenai kes ini adalah sesuatu yang serius dan wajar diteliti dan oleh sebab itu kerajaan perlu menyiasat laporan Suhakam agar ia adil kepada semua pihak,” katanya selepas majlis penyerahan surat lantikan PPK itu.

PPK turut dianggotai bekas Ketua Bahagian Perundangan PDRM Datuk Mokhtar Mohd Noor; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM Datuk Zamri Yahya; Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Datuk Muhammad Bukhari Ab Hamid; Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Mohd Sophian Zakaria; dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis Kementerian Dalam Negeri (KDN) Mohd Russaini Idrus.

Menurut Muhyiddin, pendengaran siasatan awam Suhakam yang berlangsung dari Oktober 2017 hingga Disember 2018 melibatkan 40 saksi iaitu 16 saksi bagi kes Koh dan 24 saksi bagi kes Amri dan kerajaan telah menerima laporan Suhakam bagi kedua-dua kes pada 8 April lepas.

Rentetan daripada laporan pendengaran siasatan awam Suhakam itu, katanya kementerian berpandangan kes itu telah menjuruskan kepada kerisauan orang awam terhadap kredibiti PDRM sedangkan PDRM dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan negara.

Muhyiddin berkata PPK diberi masa enam bulan untuk menyediakan laporan kepada KDN dan pasukan itu akan meneliti kes Amri dahulu kerana kes yang melibatkan Koh masih dibicarakan di mahkamah.

Sekiranya kes Koh di mahkamah tidak selesai dalam tempoh enam bulan, Muhyiddin berkata:  "Hal itu akan dibincang bila sampai ketikanya."

Mengenai pemilihan anggota PPK, Muhyiddin berkata tidak timbul isu konflik kepentingan memandangkan polis yang dilantik bukanlah dari pihak yang dituduh dalam laporan itu.

“Pastinya dalam membentuk PPK, kita ambil kira ada 'independent' dan sebagainya, pasal kalau tiada kuasa menyiasat itu susahlah nak buat (kerja), sebab itu kita lantik bekas hakim untuk mengepalainya.

"Tetapi saya yakin mereka itu yang dikata dari pihak polis bukan datang dari satu kumpulan special branch,  supaya ada keadaan yang independent dan mereka tidak harus terpengaruh,” katanya.

Muhyiddin berkata hasil laporan PPK itu akan dibuat secara dalaman  bagi memudahkan pasukan tersebut menjalankan kerja mereka.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada pasukan petugas. Saya percaya kebanyakan kes dilakukan secara dalaman, Tidak perlu dibuka kepada umum kerana cara ini lebih mudah.  

“Saya akan memaklumkan kepada kabinet (dan) kerana ini menyangkut kepentingan orang ramai, keputusannya akan dimaklunkan kemudian di mana terdapat keperluan memberitahu orang ramai dan sudah tentu keluarga terbabit mahu tahu hasil tugas pasukan petugas itu.

Sementara itu, Abd Rahim berkata buat masa ini tidak timbul keperluan untuk memanggil bekas ketua polis negara untuk disoal siasat.

“Kita meneliti sepenuhnya laporan  Suhakam. Kita teliti setiap aspek laporan itu dan tindakan akan diambil secepat mungkin . InsyaAllah, mesyuarat pertama akan berlangsung secepat mungkin pada minggu hadapan, katanya. - Bernama 

Advertisement