Anda di sini

Tidak sentuh rizab

Advertisement
 Abang Johari (tengah) bersama (dari kiri) Julaihi, Majang, Jabu, Talib, Tiong, Dr Rundi, Fadillah dan Johny mengibarkan bendera GPS sambil menyanyikan lagu rasmi GPS.
KUKUHKAN KERJASAMA: Abang Johari (tengah) bersama (dari kiri) Julaihi, Majang, Jabu, Talib, Tiong, Dr Rundi, Fadillah dan Johny mengibarkan bendera GPS sambil menyanyikan lagu rasmi GPS.

BINTULU: Dana yang diberi balik kepada rakyat melalui pelaksanaan projek-projek adalah pendapatan lain yang diperolehi Kerajaan Sarawak tanpa menggunakan rizab negeri sedia ada.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau berani memperkatakannya kerana Kerajaan Sarawak mempunyai cara dan dana yang kembali semula kepada rakyat, sebaliknya ada pihak yang memang kadang-kadang cemburu mengatakan Sarawak hendak bankrap dengan melihat cara kerajaan berbelanja.

"Memang benar bajet kita di Sarawak RM11 bilion satu tahun, katakanlah RM11 bilion untuk tiga tahun jadi dia (Menteri Kewangan Lim Guan Eng) cakap RM30 bilion.

“Rizab kita ada RM30 bilion, kalau dah belanja jadi kosong tetapi dia lupa RM30 bilion rizab adalah hasil daripada pengurusan ekonomi yang baik oleh Sarawak.

"Sebab itu kita ada rizab, kita berhemah dan apabila saya beri bajet RM11 bilion saya ambil kira pendapatan kita dan rizab itu tidak dipakai kerana kita ada pendapatan lain daripada royalti, premium dan cukai atas gas dan minyak," ujarnya berucap pada Majlis Gawai Dayak dan Ramah-Tamah Aidilfitri serta pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak di Taman Riadah Jepak di sini, malam kelmarin.

Katanya, itu semua pendapatan baharu Sarawak, jumlahnya lebih kurang RM11 bilion, kalau keluar akan ada masuknya dan bakinya seimbang.

"Dia telah mula pusing, maklum hendak mengambil orang cantik, di Sarawak macam-macam cerita seolah-olah kita pemimpin yang tidak dapat membuat keputusan yang bijak.

"Kita membuat keputusan bijak, rizab kita tidak dicampur dan tidak diambil kira.

“Kita hanya menggunakan pendapatan kita, (jadi) insya-Allah kita ada lebihan bajet pada tahun ini kerana kita berbelanja berhemah," tambahnya.

Justeru Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak akan terus berusaha membangunkan negeri ini, antaranya pembangunan untuk Tatau, pembinaan jambatan di Sebauh yang akan menjadikan daerah itu sebagai pusat pekan baharu dan Jepak pula akan dibangunkan sama seperti Petra Jaya di Kuching memandangkan kawasan itu berada di seberang sungai berdekatan jalan pesisir ke Mukah, Oya dan lapangan terbang.

"Ini bukan angan-angan Mat Jenin, apa yang kita buat adalah memindahkan pusat pentadbiran Pejabat Residen ke Jepak dan Jepak akan membangun sebagai sebuah bandar moden.

"Inilah peranan GPS, Insya-Allah hanya pemimpin GPS yang tahu cita rasa orang Sarawak.

“Orang luar lepas sibuk-sibuk datang ke sini, balik semula ke tempat mereka dan akan lupa.

“Hanya kita yang tinggal di Sarawak akan membangunkan Sarawak dengan ilmu yang ada.

“Mereka (merancang) hendak datang ke Bintulu dan saya tahu mengenainya tetapi orang Bintulu mempunyai orang pintar-pintar yang sedar mana kaca dan mana intan.

"Kita ada intan yang menyerlah dan GPS adalah gabungan parti anak Sarawak yang akan mempertahankan hak-hak orang Sarawak.

“Kita akan membangunkan negeri kita," katanya.

Beliau turut menyatakan rasa syukur kerana menjadi pemimpin kepada negeri ini yang diberi inspirasi untuk melaksanakan cukai lima peratus ke atas minyak dan gas yang dieksport, sekali gus menjadikannya sebagai tambahan dana RM3 bilion untuk Sarawak.

"Mana ada bankrap, sebab itu Sarawak hanya dapat ditadbir anak Sarawak kerana anak Sarawak yang tahu kehendak orang Sarawak.

“Malam ini sambutan Gawai-Raya begitu menampakkan keharmonian kita bekerjasama sesama kita demi masa depan negeri ini," katanya.

Beliau meluahkan rasa bersemangat menghadiri majlis itu bersama pemimpin GPS lain dengan melihat kehadiran ramai penduduk pelbagai kaum meskipun baharu kembali menghadiri majlis rasmi ASEAN Summit di Bangkok, Thailand.

"Ini adalah semangat untuk membangunkan negeri kita, Insya-Allah kalau diizinkan Allah pada 2030 Sarawak akan menjadi negeri termaju di Malaysia," katanya.

Beliau turut memperkatakan mengenai dasar-dasar untuk golongan muda, pemberian peruntukan balik Gawai dan Raya berjumlah RM600 untuk anak-anak Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi di Semenanjung Malaysia dan Sabah yang tidak ditawarkan oleh negeri lain dan pemberian RM1,000 untuk anak-anak yang lahir di Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama dengan jumlahnya RM40 juta setahun.

Katanya, pengumuman istimewa pada penghujung tahun ini juga akan dibuat khusus untuk golongan ibu.

"Saya berani memperkatakan ini sebab kita ada cara dan dana yang akan balik kepada rakyat," jelasnya.

Menurutnya, GPS juga melatih anak-anak muda untuk mengambil alih kepimpinan masa depan negeri ini dan dengan sumber yang ada, Kerajaan Sarawak akan berusaha menguruskannya dengan baik.

Mengenai pembinaan sekolah-sekolah daif katanya, Sarawak akan membangunkan sekolah baharu di Bintulu atas dana rakyat Sarawak sendiri supaya sekolah itu dapat dibina dengan sebaiknya.

Beliau berterima kasih kepada penduduk pelbagai kaum dan berbilang agama di negeri ini yang terus menyokong GPS dan pada masa sama membentuk hala tuju bersama untuk membangunkan Sarawak tercinta dengan cara harmoni.2.(btu-ub240619-AI-dananegeri-p2.jpg)

  • oleh
  • Advertisement