Anda di sini

SMK Labuan sasar 100 peratus lulus SPM 2019

Advertisement
ISMAIL (kanan) dan Md Yusof bersama ibu bapa dan pelajar SPM yang menghadiri majlis itu.
ISMAIL (kanan) dan Md Yusof bersama ibu bapa dan pelajar SPM yang menghadiri majlis itu.

LABUAN: Majlis Sarana Interaksi Akademik Bersama Ibu Bapa / Penjaga SMK Labuan 2019 telah diadakan pada Sabtu.

Program yang diadakan dari jam 8 hingga 11 pagi itu diadakan di Dewan Mutiara untuk pelajar Tingkatan 5 manakala pelajar Tingkatan 1-4 di kelas masing-masing.

Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah berkata untuk pelajar Tingkatan 1 hingga 4, ibu bapa berinteraksi dengan guru kelas anak-anak mereka tentang prestasi Peperiksaan Pertengahan Tahun, hal berkaitan disiplin dan sebagainya.

Sementara untuk pelajar Tingkatan 5, majlis berasingan diadakan di Dewan Mutiara, didahului dengan taklimat pengetua.

Ismail berkata pada tahun ini terdapat 250 pelajar SMK Labuan akan menduduki SPM.

Calon SMK Pantai IBWS seramai 165, SMK Mutiara 137, SMK TP Bedaun 82, SM St Anthony 72, SMK Lajau 69, SMK Rancha-Rancha 65, SM St Anne 64 dan SM Sains Labuan 61 orang.

Tambahnya, sasaran SPM SMK Labuan ialah 100 peratus lulus SPM dan Gred Purata Sekolah (GPS) 4.55.

Katanya, Program Akademik SPM 2019 berfokus kepada tiga kumpulan iaitu murid lemah, murid sederhana dan murid cemerlang.

“Program Jom Lulus SPM Kita adalah untuk sasaran murid lemah. Antara strateginya ialah Jadual Anjal Kelas, 3 Jam Bersama Guru BM Ku, JUL (Jawab Untuk Lulus) Sejarah dan Bengkel Teknik Menjawab Soalan,” katanya.

CHEAH Siew Ling melayan ibu bapa pada Majlis Sarana Interaksi Akademik Bersama Ibu Bapa.
CHEAH Siew Ling melayan ibu bapa pada Majlis Sarana Interaksi Akademik Bersama Ibu Bapa.

Sementara Program 1A1M: Minima 1A Kita adalah untuk sasaran murid sederhana. Antara strateginya ialah Kelas Bimbingan Mata Pelajaran Elektif, Modul Latih Tubi, Bengkel Teknik Menjawab Soalan.

Kata Ismail, Program Jom 6A Mari Kita Naik Pentas adalah untuk sasaran pelajar cemerlang. Antara strateginya ialah Bimbingan berjadual, Modul Latih Tubi dan Bengkel Teknik Menjawab Soalan.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa memastikan kehadiran anak ke sekolah, memastikan keperluan persekolahan anak, menjelaskan sumbangan PIBG untuk menampung program yang dirancang, memberikan sokongan psikologi dan motivasi kepada anak serta mendoakan setiap hari untuk kejayaan anak.

Selepas taklimat pengetua, ibu bapa berinteraksi dengan guru kelas mengenai prestasi Peperiksaan Pertengahan Tahun, sasaran peningkatan prestasi dan perkara lain yang berkaitan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua PIBG SMK Labuan Haji Md Yusof Hj Chuchu, PK Pentadbiran Zalina Zunkepely, Marziawati Mardan (PK HEM) dan Kitli Beka (PK Petang).

Ismail berharap semua pihak termasuk ibu bapa dan murid akan menjalankan peranan masing-masing membantu guru melaksanakan program yang sudah dirancang sejak awal tahun lagi bagi memastikan kecemerlangan yang berterusan buat pelajar SMK Labuan pada tahun ini.

Advertisement