Anda di sini

Sindiket judi dalam talian kaut RM240,000 sehari tumpas

Advertisement
 T Narenasagaran (tengah) menunjukkan barang rampasan yang digunakan untuk perjudian atas talian yang berpangkalan di Indonesia selepas melakukan empat serbuan di empat kondominium mewah di sekitar Sungai Ara dan Bayan Lepas pada Jumaat dan Sabtu lepas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, George Town semalam. — Gambar Bernama
BARANG BUKTI: T Narenasagaran (tengah) menunjukkan barang rampasan yang digunakan untuk perjudian atas talian yang berpangkalan di Indonesia selepas melakukan empat serbuan di empat kondominium mewah di sekitar Sungai Ara dan Bayan Lepas pada Jumaat dan Sabtu lepas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, George Town semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket judi dalam talian yang berpangkalan di Indonesia dan mengaut keuntungan sehingga RM240,000 sehari selepas menyerbu empat kondominium mewah di sekitar Sungai Ara dan Bayan Lepas, dekat sini.

Ketua Polis negeri Datuk T. Narenasagaran semalam berkata serbuan itu dijalankan bermula jam 10 malam hari Jumaat hingga 12 tengah hari Sabtu ke atas empat kondominium berkenaan dan menahan 16 warga Indonesia termasuk lima wanita berumur 19 hingga 47 tahun.

“Seorang daripada mereka iaitu lelaki berusia 40-an merupakan dalang utama sindiket perjudian berkenaan dan pemeriksaan mendapati sindiket terbabit menjadikan rumah-rumah mewah tersebut sebagai pusat khidmat panggilan berpusat untuk aktiviti perjudian berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Katanya semua warga Indonesia yang ditahan itu merupakan operator atau pembantu di pusat khidmat panggilan berkenaan dan mereka bekerja selama 12 jam sehari mengikut syif yang mana empat pekerja akan bekerja dalam satu syif.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pekerja asing yang bekerja di situ maklum mereka dibawa ke Pulau Pinang untuk bekerja dengan sindiket judi dalam talian berkenaan dan difahamkan mereka ditawarkan gaji lumayan.

Narenasagaran berkata kegiatan perjudian dalam talian itu menyasarkan pelanggan di Indonesia dan siasatan mendapati bagi melicinkan aktiviti perjudian berkenaan, sindiket tersebut telah mewujudkan satu laman web khas yang mana perisian itu telah dibeli dari Kemboja.

“Sindiket ini telah beroperasi dalam tempoh tiga bulan hingga setahun lepas dan mereka beroperasi di kondominium yang disewa dengan menawarkan pertaruhan bermula dengan 1,000 rupiah hingga 20 juta rupiah dalam masa 24 jam sehari tanpa henti,” katanya.

Beliau berkata sindiket itu mampu mengaut keuntungan sehingga RM60,000 sehari bagi setiap premis iaitu kira-kira RM240,000 sehari bagi empat buah kondominium berkenaan.

Katanya pekerja di pusat khidmat panggilan berpusat itu memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian dengan menghantar mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) serta aplikasi WhatsApp dan juga Wechat yang dihantar secara rawak kepada pelanggan di Indonesia.

“Pusat khidmat berpusat itu juga berperanan untuk menguruskan setiap transaksi keluar dan masuk wang secara dalam talian bagi aktiviti perjudian dengan menggunakan bank dari Indonesia.

“Aktiviti perjudian pertaruhan yang dianjurkan oleh sindiket ini terdiri daripada jenis poker, judi bola sepak antarabangsa, loteri 4D (dalam dan luar Indonesia) serta lain-lain,” katanya.

Katanya susulan serbuan di empat premis itu, polis merampas 26 komputer, 29 telefon bimbit, 27 token perbankan dalam talian serta sebuah komputer riba yang digunakan untuk kegiatan berkenaan.

“Pemeriksaan juga mendapati ada dalam kalangan pekerja Indonesia itu telah tinggal lebih masa, tiada permit kerja dan menyalahgunakan pas lawatan sosial. Mereka kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1960,” katanya. — Bernama

Advertisement