Anda di sini

Semua suku kaum, etnik digalak tampilkan keunikan kebudayaan

Advertisement
 Mohamaddin diiringi Abdul Karim meluangkan masa menjamu selera di salah satu gerai makanan tradisi.
TAMPIL KEUNIKAN: Mohamaddin diiringi Abdul Karim meluangkan masa menjamu selera di salah satu gerai makanan tradisi.

LAHAD DATU: Semua suku kaum dan etnik di negara ini digalakkan untuk bersama kerajaan memajukan sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, dengan menampilkan keunikan kebudayaan tradisi dan seni masing-masing melalui penganjuran majlis, pesta kebudayaan dan sebagainya, ia akan mampu mempesona pengunjung luar.

“Semua kaum juga boleh bekerjasama dengan duduk berunding, saling bertukar pandangan dan mencari keunikan kaum untuk ditonjolkan sebagai produk pelancongan,” katanya ketika berucap pada Majlis Koluk Sengegkun Idahan dan Raya anjuran Persatuan Etnik Idahan Sabah di Dewan Perdana, di sini pada Ahad.

Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Silan turut menyeru usaha pembuatan kraf tangan tempatan dipergiat kerana pasarannya semakin meningkat dan menguntungkan.

Katanya, industri pembuatan kraf tangan di Sarawak sebagai contoh, telah menjana RM13.6 juta pada bulan Januari hingga Mac tahun ini melalui hasil kraf tangan.

“Pengusaha pelancongan juga perlu memanfaatkan Dana Infrastruktur Pelancongan sebanyak RM1 bilion yang dilancarkan Bank Pembangunan Malaysia Berhad bagi memajukan perusahaan yang sekali gus akan memperbanyakkan peluang pekerjaan,” katanya.

Mengulas mengenai usaha mempertingkat potensi pelancongan di Kunak, Mohamaddin berkata ia akan dicapai setelah rundingan dengan sebuah syarikat pemilik lokasi-lokasi tumpuan pelancong itu selesai dan beliau positif ia akan dilaksana demi meningkatkan industri pelancongan.

Pengerusi Persatuan Etnik Idahan Sabah (PEIS) Abdul Karim Dakog ketika berucap menyeru ahli persatuan tampil menjayakan pelbagai aktiviti persatuan seterusnya mencapai hasrat perpaduan negara.

Beliau juga mahu majlis itu dijadikan acara tahunan PEIS dengan menampilkan pelbagai keunikan Idahan daripada pelbagai sudut seperti makanan, kraf tangan, pakaian, alatan muzik dan lain-lain.

Turut hadir ialah Pemimpin Masyarakat DUN Lahad Datu Kassim Malan dan Pegawai Pembangunan Masyarakat DUN Lahad Datu Salsagap Pg Masdal.

Advertisement