Anda di sini

Sarawak bantu biayai projek surau, masjid di Santubong

Advertisement
Wan Junadi semasa Taklimat  Status Kemajuan Projek Masjid dan Surau di Kawasan Parlimen P.193 Santubong di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya hari ini
Wan Junadi semasa Taklimat  Status Kemajuan Projek Masjid dan Surau di Kawasan Parlimen P.193 Santubong di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya hari ini

KUCHING: Masalah peruntukan dana untuk projek pembinaan masjid dan surau yang sudah diluluskan tetapi ditarik balik berikutan kejatuhan kerajaan persekutuan sebelum ini, diselesaikan dengan sokongan dan bantuan kerajaan Sarawak.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan persekutuan terdahulu sudah meluluskan tujuh buah projek pembinaan masjid dan surau dalam kawasan Parlimennya.

Bagaimanapun, sumber kewangan yang sebelum ini diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ‘ditarik balik’ apabila kalah dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Sumber kewangan untuk pembinaan masjid dan surau ‘hilang dan pupus’ menyebabkan Parlimen tiada pilihan lain selain meminta campur tangan kerajaan negeri.

“Syukur kerana Kerajaan Sarawak menerusi Tabung Baitulmal Sarawak dan Majlis Islam Sarawak (MIS) meluluskan peruntukan kewangan yang telah dipersetujui sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Taklimat  Status Kemajuan Projek Masjid dan Surau di Kawasan Parlimen P.193 Santubong di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya di sini, hari ini.

Wan Junaidi memberitahu, projek yang sudah diluluskan itu membabitkan pembinaan Masjid Mutiara Iman, Taman Sepakat Jaya berharga RM2.5 juta, Masjid Kampung Semilang (RM2.5 juta), Masjid Kampung Salak (RM1 juta) dan Surau Al-Falah Taman Mesra Bako (RM600,000).

“Selain itu, Surau Jamek Darul Ibadah, Kampung Rampangi Fasa II (RM450,000), Surau Istiqamah, Kampung Rampangi Fasa 1 (RM450,000) dan Surau Kampung Kudi berharga RM600,000 juga diluluskan.

“Justeru, saya jamin projek enam masjid dan surau ini selain Surau Kampung Kudi akan dilaksanakan dengan segera dan tender dikeluarkan dalam tahun ini,” katanya.

Menurutnya, projek pembinaan Surau Kampung Kudi masih lagi dalam rundingan berikutan isu tanah dan perkara itu akan dimaklumkan kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua bagi mencari penyelesaian.

  • oleh
  • Advertisement