Anda di sini

Rokok seludup bernilai RM1.83 juta dirampas

Advertisement
 Sebahagian rokok seludup bernilai RM1.83 juta yang berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di dua lokasi berasingan di hadapan jeti Pulau Beluru dan tebing Pulau Tongkang Jumaat lepas pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Pengkalan Kubor, Tumpat semalam. — Gambar Bernama
DIRAMPAS: Sebahagian rokok seludup bernilai RM1.83 juta yang berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di dua lokasi berasingan di hadapan jeti Pulau Beluru dan tebing Pulau Tongkang Jumaat lepas pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Pengkalan Kubor, Tumpat semalam. — Gambar Bernama

TUMPAT: Sejumlah 15,000 karton rokok jenama John bernilai RM1.83 juta termasuk cukai berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam dua serbuan berasingan di dua pangkalan haram, di sini, Jumaat lepas.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, rampasan rokok kali ini adalah yang terbesar tahun ini.

Beliau berkata kesemua rokok berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan selain kemungkinan akan dihantar ke Terengganu berikutan jumlahnya yang banyak.

“Pasukan Marin JKDM Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor mengesan dua buah bot pancung yang sedang menuju ke Kuala Besar, Kota Bharu.

Pasukan telah mengejar kedua-dua bot terbabit lebih kurang 15 minit sebelum menahan sebuah daripada bot itu di hadapan jeti Pulau Beluru, di sini. Bagaimanapun, dua lelaki telah berjaya melepaskan diri,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pejabat JKDM Pengkalan Kubor di sini, semalam.

Mohd Rakbi berkata hasil pemeriksaan ke atas bot gentian kaca tidak bernombor itu anggota kastam menemui ratusan kotak putih berjenama John.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ada 8,000 karton rokok mengandungi 1.6 juta batang rokok. Nilai keseluruhan rokok itu dianggarkan sebanyak RM128,000 dengan anggaran cukai bernilai RM850,560.

Kesemua barang rampasan termasuk bot bernilai RM50,000 dibawa balik ke pejabat. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan kedua pada pada jam 8 pagi di tebing Pulau Tongkang, Mohd Rakbi berkata, pihak penguat kuasa menemui 7,000 karton rokok juga dari jenama John di bawah kanvas biru dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kita percaya kotak mengandungi rokok terbabit adalah daripada bot yang terlepas ketika dikejar pasukan marin JKDM pada jam 5 pagi sebelum itu.

Semua rokok terbabit dipercayai bernilai RM112,000 dengan taksiran cukai sebanyak RM744,240. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) akta yang sama,” katanya.

Mohd Rakbi berkata JKDM Kelantan akan meneruskan operasi seumpama itu pada masa akan datang bagi membendung kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di negeri ini.

Sehubungan itu katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan serta premis perniagaan yang menyimpan, memiliki dan mengangkut rokok seludup atau lain-lain barangan seludup dimohon untuk melaporkannya kepada JKDM melalui talian aduan penyeludupan 1-800-88-8855 atau 09-7411100. — Bernama

Advertisement