Anda di sini

Persekutuan Angkat Berat Malaysia: Persatuan negeri jangan ‘lepas tangan’

Advertisement
 (Duduk dari tiga kanan) Gerald, Ong, Ayub dan Nasir bersama jawatankuasa penganjur dan tetamu pada perasmian kejohanan angkat berat di Kuching semalam.
PERASMIAN: (Duduk dari tiga kanan) Gerald, Ong, Ayub dan Nasir bersama jawatankuasa penganjur dan tetamu pada perasmian kejohanan angkat berat di Kuching semalam.

KUCHING: Mana-mana persatuan angkat berat negeri tidak lagi boleh ‘lepas tangan’ selepas ini jika atlet-atlet mereka gagal ujian doping ketika menyertai kejohanan kebangsaan mahupun antarabangsa.

Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengambil langkah drastik meminda peraturan persatuan itu untuk membolehkan persatuan-persatuan dan atlet-atlet negeri yang gagal ujian doping didenda Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata sebelum ini PABM terpaksa menanggung beban membayar denda dikenakan IWF jika ada atlet-atlet negeri gagal ujian doping.

“IWF mendenda kita sejumlah USD5,000 bagi setiap kes. Jika ada empat kes kita kena membayar lebih RM100,000. PABM tidak ada wang sebanyak itu. Atlet-atlet tersenyum dan persatuan-persatuan negeri buat-buat tidak tahu.

“Justeru, pada mesyuarat petang ini (semalam) kita meluluskan pindaan terhadap undang-undang dan peraturan PABM bukan sahaja melibatkan PABM tetapi persatuan negeri, atlet, jurulatih dan pegawai.

“Sebagai contoh pada kejohanan di Sarawak ini, jika ada atlet dari negeri-negeri lain gagal ujian doping maka yang akan membayar denda adalah persatuan negeri itu sendiri.

“Kita pindahkan beban itu kepada persatuan-persatuan negeri kerana selama ini hanya PABM dibebankan dengan kes-kes ini. Setiap atlet juga perlu bertanggungjawab dengan diri mereka selepas ini,” katanya pada perasmian Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior Kebangsaan Sarawak 2019 di South Court, Pusat Beli-Belah tHe Spring di sini semalam.

Menurut Ayub, Lebih tegas jika atlet-atlet negeri terbabit gagal ujian doping sebanyak tiga kali, persatuan negeri akan digantung daripada menyertai mana-mana kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, pendekatan sama turut digunakan negara Thailand yang mahu membanteras penyalahgunaan bahan terlarang kalangan atlet negara itu.

Menurutnya, jurulatih negeri dan kebangsaan selepas ini juga perlu mendapatkan pengesahan daripada jawatankuasa penilaian yang ditubuhkan untuk menilai sama ada jurulatih terbabit melepasi tahap penilaian ditetapkan.

“Jika jurulatih melepasi penilaian, baharulah mereka diberikan sijil sebagai jurulatih peringkat negeri di mana ia sah sehingga dua tahun.

“Ini merupakan perubahan pindaan memastikan sukan angkat berat terus diperkasa dan diberi pengiktirafan oleh negara dan MSN kerana selama ini beban hanya ditanggung PABM. Selepas ini, jurulatih mesti tahu tentang barang larangan dan perihal anti-doping,” katanya.

Katanya, masalah doping juga memberi kesan apabila acara angkat berat berkemungkinan tidak dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA 2020) di Johor.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) memberi sokongan sepenuhnya agar sukan itu dipertandingkan pada SUKMA 2020 nanti.

“Kita sudah berjumpa, mendesak dan memberi alasan kepada MSN agar sukan ini kekal menjadi salah satu sukan dipertandingkan pada SUKMA Johor,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (PSS), Dr Ong Kong Swee berkata Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) mengamalkan sikap sentiasa berwaspada dengan isu doping dan mengambil langkah pencegahan dengan mengadakan program kesedaran bersama Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) sebelum ini.

Mengenai kejohanan itu, beliau yang juga Pengarah MSNS berkata ia bukan sahaja penting untuk merancakkan industri pelancongan sukan negeri malah dapat menjadi landasan melahirkan atlet-atlet berprestasi tinggi seiring dengan visi menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan.

“Ini peluang kepada atlet-atlet muda menunjukkan potensi sebenar mereka,” katanya.   

Terdahulu, Presiden Persatuan Angkat Berat Negeri Sarawak (PABNS), Gerald Rentap Jabu berkata sebanyak 15 pasukan membabitkan seramai 128 atlet menyertai kejohanan tersebut yang berakhir Jumaat ini (28 Jun).

Pasukan terbabit ialah Sarawak, Sabah, Johor, Pahang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perak, Selangor, Terengganu, Kedah, Perlis, Putrajaya, Majlis Sukan Negara (MSN), Kelantan dan Pulau Pinang.

“Kejohanan ini menjadi landasan berguna kepada atlet-atlet bertanding mendapatkan pendedahan serta  mengukuhkan perpaduan kalangan atlet,” katanya.

Hadir sama Timbalan Presiden PABM, Datuk Mohd Nasir Ali dan Pengurus Besar tHe Spring, Datin Christine Ling.

Advertisement