Anda di sini

Penagih dadah pesakit yang perlu dirawat bukan dihukum

Advertisement

PUTRAJAYA: Penagih dadah di negara kini tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah yang perlu dihukum sebaliknya pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.

Takrifan itu dicapai susulan perbincangan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan di KDN di sini semalam yang bersetuju untuk melaksanakan ‘decriminalization’ ke atas penagih dadah.

Bercakap kepada pemberita selepas perbincangan itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelaksanaan decriminalization itu akan melibatkan program rawatan dalam komuniti dengan memperkasakan peranan ahli keluarga dan masyarakat.

“KDN akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam program ‘harm reduction’ melalui terapi dadah gantian methadone dan ‘joint management’ kes-kes dual diagnosis yang dijalankan oleh Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Tampoi dan Hospital Permai di Johor,” katanya.

Menurut Muhyiddin, terdapat 70,000 tahanan penjara di Malaysia pada masa ini dengan sebahagian besar daripadanya adalah penagih dadah.

“Dengan proses decriminalization, tahanan penjara yang dikategorikan sebagai penagih dadah akan diberi rawatan dan pemulihan,” katanya.

KDN juga sedang mengkaji untuk mengeluarkan Seksyen 6, 8 dan 9 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (APD) daripada didaftarkan di bawah Akta 7 (Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969) bagi memberi peluang kedua kepada penagih yang telah pulih dan dibebaskan daripada pusat pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), katanya.

Muhyiddin berkata, turut dibincangkan KDN dan Kementerian Kesihatan hari ini ialah isu penyakit berjangkit di penjara, lokap, pusat tahanan dan depoh tahanan KDN.

Maklumat terkini Jabatan Penjara mendapati 16,955 banduan dikesan mempunyai penyakit berjangkit.

“KDN dan Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dalam menguruskan masalah penyakit berjangkit di tempat tahanan KDN,” katanya. — Bernama

Advertisement