Anda di sini

Niosh sedia beri khidmat nasihat analisa latihan secara percuma

Advertisement

KOTA KINABALU: Untuk menggalakkan lebih banyak organisasi melaksanakan sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang baik, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) bersedia memberikan khidmat nasihat analisa keperluan latihan secara percuma.

Pengerusi Niosh Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia merupakan sebahagian usaha institusi itu untuk mewujudkan budaya KKP yang baik dan berintegriti di setiap organisasi swasta dan kerajaan. 

LEE (kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada penghuni Rumah Anak As Sakinah, Papar.
LEE (kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada penghuni Rumah Anak As Sakinah, Papar.

"Sebagai sebuah institusi di bawah Kementerian Sumber Manusia, Niosh bertanggungjawab melaksanakan fungsi berkaitan KKP seperti mengadakan latihan, khidmat konsultansi, penyelidikan dan penyebaran maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Niosh Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, bertempat di Hotel Pan Borneo, Putatan dekat sini pada Isnin. 

Turut hadir Pengurus Niosh Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Wan Sarman Sakan, Pengurus Bahagian Perniagaan dan Pemasaran Niosh Mohd Hussin Abd Salam dan Pengurus Niosh Certification Sdn Bhd Muhammad Fadhil Abu Bakar.

Lee berkata, Niosh Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan juga akan menjadi lebih proaktif dalam  membantu organisasi di negeri ini yang memerlukan latihan KKP sesuai dengan tuntutan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994.

Beliau berkata, pada awal tahun ini, Niosh telah menambah baik perkhidmatannya di Sabah dengan memperkenalkan  perkhidmatan rundingan yang selama ini hanya ditawarkan di Semenanjung Malaysia.  

"Antara perkhidmatan yang mendapat permintaan tinggi di kalangan industri di Sabah termasuk perundingan berkaitan penggunaan bahan kimia, industri higien dan ergonomik," katanya.   

Beliau berkata, Niosh Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 28 peratus bilangan peserta atau kenaikan 1,647 peserta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun 2018. 

LEE (tengah) bersama Wan Sarman, Mohd Hussin dan Fadhil bergambar bersama penghuni Rumah Anak As Sakinah, Papar.
LEE (tengah) bersama Wan Sarman, Mohd Hussin dan Fadhil bergambar bersama penghuni Rumah Anak As Sakinah, Papar.

Dari bulan Januari hingga Mei tahun ini, pejabat wilayah tersebut telah melaksanakan 295 kursus  melibatkan 5,794 peserta berbanding 224 kursus melibatkan 4,147 peserta tahun lepas.

"Daerah Sandakan, Lahad Datu dan Tawau merekodkan permintaan tertinggi untuk perkhidmatan rundingana KKP di Sabah dan kita juga akan meningkatkan kursus-kursus kompetensi kemahiran dalam industri minyak dan gas," katanya.  

Beliau berkata, tiga kursus yang telah dikenalpasti untuk ditawarkan adalah Kursus Bekerja Selamat di Tempat Tinggi, Kursus Pengendalian Selamat Trak Angsun dan Kursus Pengendalian Selamat Jet Air Tekanan Tinggi.

Niosh Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan juga telah bekerjasama dengan Kolej Teknikal Yayasan Sabah sejak tahun 2012 untuk menjalankan  Kursus Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SHO) untuk pekerja masa hadapan. 

"Kursus tersebut dikhususkan untuk graduan-graduan lepasan universiti swasta dan kerajaan bagi meningkatkan kompetensi mereka di Sabah.  Saya difahamkan kursus tahun ini akan dilaksanakan bermula 8 Julai 2019," katanya.     

Menurutnya, anak syarikat Niosh iaitu Niosh Certification Sdn Bhd (NIOSH Certification) juga telah memulakan langkah besar di Malaysia Timur melalui pembukaan pusat pentadbirannya di Kota Kinabalu sejak tahun 2016.

Sehingga April 2019, Niosh Certification telah memberi perkhidmatan audit pensijilan kepada 109 organisasi di 5abah dan Serawak.

  • oleh
  • Advertisement