Anda di sini

Nahas kereta api di timur Bangladesh

Advertisement
 Beberapa gerabak tergelincir dari landasan dalam nahas maut di Kulaura, pinggir Moulvibazar semalam. — Gambar Reuters
TRAGIK: Beberapa gerabak tergelincir dari landasan dalam nahas maut di Kulaura, pinggir Moulvibazar semalam. — Gambar Reuters

DHAKA: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera dalam nahas kereta api di daerah Moulvibazar, Bangladesh kelmarin, lapor agensi berita Anadolu.

Nahas itu menyebabkan perkhidmatan kereta api ke bahagian timur Sylhet tergendala, menurut pihak berkuasa Perkhidmatan Kebakaran dan Penerbangan Awam.

“Empat mayat, tiga wanita dan seorang lelaki ditemui setakat ini,” kata pegawai polis di Balai Polis Kulaura, Yardous Hasan.

Katanya, lebih 100 mangsa yang cedera dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan di hospital.

Seorang daripada mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Anwara Parvin.

Nahas dipercayai berlaku apabila beberapa gerabak kereta api Upaban Express tergelincir daripada landasan sebaik tiba di Terusan Barochhara, kira-kira 200 meter dari Stesen Kereta Api Baramchal.

Sementara itu, pegawai kesihatan dan perancang keluarga Dr Nurul Haque berkata, angka kematian adalah seramai tujuh orang dan 250 lagi cedera, lapor akhbar Jugantor.

Beberapa akhbar tempatan lain pula melaporkan angka korban seramai lima orang.

Seramai 56 anggota dan 13 jentera bomba telah dihantar ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa dan mayat mangsa yang tersepit. — Bernama

Advertisement