Anda di sini

Majlis rumah terbuka Aidilfitri terus rancak

Advertisement

Sumbangan Muhamad Bohari

 Empat orang penting Persatuan Warga Islam Saribas iaitu Sharkawi, Muhamad, Abdullah Subat dan Ahmad Iskandar menjamu selera juadah Aidilfitri.
ISTIMEWA: Empat orang penting Persatuan Warga Islam Saribas iaitu Sharkawi, Muhamad, Abdullah Subat dan Ahmad Iskandar menjamu selera juadah Aidilfitri.

MENGADAKAN majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri ketika menghampiri pertengahan bulan Syawal sudah menjadi amalan masyarakat Melayu sejak kebelakangan ini.

Majlis rumah terbuka ini biasanya akan menjemput saudara-mara, sahabat handai dan orang kenamaan hadir ke rumah individu atau dewan, bergantung kepada lokasi yang dipilih tuan rumah yang mengadakan majlis.

Tujuan majlis diadakan tidak lain dan tidak bukan, meraikan kedatangan Syawal, bersalam-salaman serta bermaaf-maafan sambil menikmati juadah raya.

Majlis seperti ini sudah menjadi budaya sebahagian masyarakat Melayu dan dilihat mampu mengeratkan silaturahim dalam kalangan keluarga Islam sendiri dan mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

 Tetamu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Muhamad mengambil juadah masing-masing.
DIPERSILAKAN: Tetamu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Muhamad mengambil juadah masing-masing.

Tidak ketinggalan mengadakan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini ialah Ketua Kampung Muhamad Bohari di Taman Dusun Bayu, Demak Laut Petra Jaya di Kuching.

Majlis tersebut berlangsung meriah dengan kehadiran sanak saudara, jiran pelbagai kaum dan para pemimpin masyarakat setempat.

Antara tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka anjuran Muhamad ialah Ketua Kampung Pine Villa Penghulu Awang Sepian Awang Juini dari Kampung Tunku Petra Jaya, Penghulu Trisno Sarintana dari Kampung Seri Arjuna, Jalan Puncak Borneo, Kaunselor Rabian Kipli dari Majlis Perbandaran Kota Pedawan, Setiausaha Persatuan Melayu Sarawak Abang Hadera Lee, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Masjid Mutiara Iman Sepakat Jaya II Ismuni Seruji, ahli-ahli Persatuan Warga Islam Saribas serta ahli-ahli Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung Pine Villa.

Pada akhir majlis Muhamad mengucapkan terima kasih dan salam Hari Raya Aidilfitri kepada semua tetamunya dan berharap majlis serupa akan berlangsung lagi pada tahun-tahun akan datang.

 Awg Sepian, Hadera Lee, Muhamad dan Rabian merakam kenangan bersama.
AKRAB: Awg Sepian, Hadera Lee, Muhamad dan Rabian merakam kenangan bersama.
Advertisement