Anda di sini

Lima tapak rumah mampu milik dikenal pasti - KM

Advertisement
Abang Johari memukul gendang sebagai simbolik perasmian majlis sambil disaksikan menteri-menteri kabinet dan pucuk pimpinan PBB yang lain. – Gambar oleh Chimon Upon
Abang Johari memukul gendang sebagai simbolik perasmian majlis sambil disaksikan menteri-menteri kabinet dan pucuk pimpinan PBB yang lain. – Gambar oleh Chimon Upon


KUCHING: Kerajaan negeri telah mengenal pasti lima kawasan baru untuk dibangunkan sebagai penempatan rumah mampu milik.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kawasan-kawasan tersebut ialah Bako-Buntal, Sungai Maong-Segedup, Gita Baru, Kampung Senari dan Lundu-Sematan.

“Kita tahu perumahan satu masalah kerana tekanan migrasi. Rakan-rakan kita di luar bandar datang ke Kuching untuk mencari nafkah kerana pekerjaan yang sesuai dengan latihan ada di bandar. 

“Maka kita bangunkanlah kawasan-kawasan ini untuk mereka. Arahan telah diberikan kepada Jabatan Tanah dan Survei untuk menyukat kawasan-kawasan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching 2019 di sebuah hotel di sini, Isnin malam.

Menurut Abang Johari, kerajaan negeri juga akan menaik taraf jalan raya di kawasan-kawasan berkenaan bagi memudah dan menyingkatkan akses ke penempatan baru nanti.

Katanya, kadar premium tanah juga diturunkan kepada RM2,500 selama 10 tahun dengan pemilik hanya perlu membayar RM250 setahun.

“Kita dapat tanah, kita dapat bangunkan rumah dengan hanya RM2,500. Kawasannya besar, lebih daripada 12 poin.

“Perumahan yang saya buat semua kawasan ditembok dulu, dilengkapi utiliti air dan elektrik, dengan parit konkrit dan jalan raya tar. Semua ini ditanggung oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya lagi.

Tambahnya, pembeli juga tidak perlu risau tentang pinjaman kerana kerajaan menyediakan skim pinjaman melalui Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd yang dimiliki kerajaan GPS.

“Ini yang kita usahakan. Tetapi kita mesti berkuasa di Sarawak. Kita perlu bekerja dengan kuat, jangan ambil mudah dan mesti turun padang. 

“Doa kita bulan 11, ada perkara yang akan saya umumkan untuk menambah pendapatan negeri Sarawak. Ketika ini masih ‘premature’, saya tidak mahu umumkan dulu.

“Apabila keadaannya baik, insya-Allah pada 2030, Sarawak akan menjadi negeri termaju di Malaysia dan mempunyai dana yang hebat,” katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, menteri-menteri kabinet dan pucuk pimpinan PBB yang lain.


 

  • oleh
  • Advertisement