Anda di sini

Labuan negeri paling harmoni di Malaysia

Advertisement
Baharin (dua dari kiri), Rozman (kiri) dan Fadzillah (tiga kiri) turut mencuba sendiri 'menumpah ambuyat' bersama 500 peserta lain.
Baharin (dua dari kiri), Rozman (kiri) dan Fadzillah (tiga kiri) turut mencuba sendiri 'menumpah ambuyat' bersama 500 peserta lain.

LABUAN: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, Senator P. Waytha Moorthy mengesahkan belum pernah menerima laporan wujudnya konflik kaum di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pencapaian itu, katanya meletakkan Labuan sebagai satu-satunya wilayah yang 'zero' konflik kaum dan dikira sebagai negeri paling harmoni di Malaysia.

"Saya percaya ini hasil daripada kesedaran penuh masyarakat Labuan yang sentiasa memelihara dan menjaga hubungan kaum dengan mantap dan semangat perpaduan yang tinggi serta wujud kesedaran bahawa 'Perpaduan Negara' itu adalah tanggungjawab bersama," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Silang Budaya Kaamatan, Gawai dan Hari Raya Sempena Sambutan Minggu Perpaduan peringkat Wilayah Persekutuan Lahuan di Dewan Arena, Kampung Bukit Kuda, malam Ahad lalu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Perpaduan Malaysia, Datuk Baharin Idris.

Turut hadir Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan, Fadzillah Mahmud dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Labuan Mimie Duasah Selvakumar.

P. Waytha Moorthy merasa bangga dan menganggap program tersebut amat unik serta boleh merapatkan hubungan silaturahim semua pihak. 

Acara menumpah ambuyat turut melibatkan masyarakat berbilang kaum.
Acara menumpah ambuyat turut melibatkan masyarakat berbilang kaum.

Program tersebut melibatkan lebih 500 orang yang terdiri daripada pemimpin utama di wilayah ini termasuk Ketua-ketua Jabatan Kerajaan, swasta, pemimpin-pemimpin politik, Majlis Perwakilan Penduduk, Rukun Tetangga, NGO, Pertubuhan Sukarela dan seluruh masyarakat bersama-sama melakukan upacara unik 'Menumpah Ambuyat' lebih-lebih lagi akan direkodkan dalam 'Malaysia Book Of Records'.

"Saya sungguh terharu dengan idea penganjuran aktiviti yang sangat unik seperti ini dan percaya memberi impak kesedaran kepada kita semua betapa pentingnya semangat perpaduan itu dipelihara dan dijaga bersama-sama agar negara sentiasa aman, damai, sejahtera dan dapat melahirkan masyarakat dinamik serta negara maju," katanya.

Advertisement