Anda di sini

Firma antarabangsa meyakini pengurusan ekonomi Sarawak

Advertisement
 Abang Johari menurunkan tandatangan di atas plak khas bagi merasmikan pejabat PwC di Kuching. Turut kelihatan (dari kiri) Sridharan, Masing dan Mohammad Faiz (belakang). — Gambar Chimon Upon
SIMBOLIK: Abang Johari menurunkan tandatangan di atas plak khas bagi merasmikan pejabat PwC di Kuching. Turut kelihatan (dari kiri) Sridharan, Masing dan Mohammad Faiz (belakang). — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Pembukaan pejabat PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia yang ketujuh di sini menunjukkan firma antarabangsa itu yakin dengan pengurusan ekonomi Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sebagai sebuah firma perakaunan profesional dan diperakui dunia, PwC tahu Sarawak mengurus perbelanjaannya dengan baik.

“PwC membuka pejabat di sini di Sarawak dan Kuching khasnya menunjukkan keyakinan mereka terhadap keadaan dan pengurusan ekonomi Sarawak.

“Sebagai firma perakaunan profesional PwC  tahu kita mempunyai perbelanjaan yang diurus dengan baik,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Pejabat PwC Malaysia di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing, Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Rakan Pengurusan PwC Malaysia Sridharan (Sri) Nair.

Pembukaan pejabat baharu PwC itu yang terletak di Tingkat 2, Bangunan STA di sini merupakan cawangannya ketujuh di Malaysia dan dalam usaha firma itu memperluaskan operasinya ke Malaysia Timur.

Abang Johari berkata Sarawak kini dalam proses mentransformasikan sektor ekonominya daripada ekonomi konvensional kepada ekonomi digital.

Ini bermakna katanya, Sarawak memerlukan teknologi terkini untuk mengurus dan mendapat hasil semaksimum mungkin daripada sumber-sumber semula jadi yang terdapat di negeri ini.

“Saya percaya PcW di Sarawak akan memberi khidmat nasihat kepada kita (kerajaan negeri) mengenai trend ekonomi dunia dan bagaimana kita dapat meletakkan Sarawak dalam dunia yang sentiasa berubah terutama dari segi teknologi,” katanya.

Abang Johari amat berharap PwC akan memberi khidmat nasihat dan panduan bagaimana mengikut trend semasa ekonomi dunia serta meletakkan Sarawak di kedudukan terbaik dalam ekonomi global yang kian mencabar.

Sementara itu, Sridharan dalam ucapan aluannya berkata berurusan dengan pelanggan di Sarawak sejak beberapa tahun lalu jelas menunjukkan permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan profesional dalam pelbagai disiplin ditawarkan oleh PwC.

Beliau berkata, perubahan landskap peraturan dan pembangunan teknologi yang pantas telah memberi impak kepada sektor awam serta swasta menyebabkan ketidaktentuan kepada persekitaran perniagaan yang sememangnya kompleks.

“PwC telah membantu pelanggan-pelanggan kami menghadapi cabaran-cabaran dan bekerjasama dengan mereka untuk mengenal pasti serta merebut peluang perniagaan dalam era digital.

“Ia tidak setakat itu sahaja, kami mahu lakukan lebih daripada itu. Kami percaya sudah tiba masanya untuk PwC membuka pejabat di Sarawak kerana ini akan membolehkan pasukan kami kekal ‘di lapangan’ untuk menyokong impian-impian Sarawak serta memenuhi permintaan sektor swasta di negeri ini,” katanya.

Sridharan percaya PwC boleh memainkan peranan menyokong visi Sarawak untuk maju dalam ekonomi digital.

“Sarawak memulakan usaha transformasi yang menarik. Sebagai negeri yang mengubah usahanya dalam membangunkan ekonomi digitalnya ke tahap lebih tinggi, kami percaya dapat memainkan peranan membantu Sarawak mencapai visi ini.

“Sebagai sebahagian rangkaian global, kami boleh mendapat kepakaran rakan sejawatan kami di seluruh negara untuk menyediakan amalan terbaik dunia kepada pelanggan,” katanya.

PwC merupakan sebuah firma antarabangsa yang menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk menyelesaikan keperluan serta masalah dalam organisasi bermula daripada pelaksanaan strategi-strategi cukai berkesan hingga membentuk semula budaya kerja sesuai dengan trend semasa.

Firma itu mempunyai rangkaian di 158 negara dengan lebih 250,000 pegawainya yang komited memberi perkhidmatan berkualiti dalam perkhidmatan cukai, jaminan dan kidmat nasihat.

  • oleh
  • Advertisement