Anda di sini

Empat pelajar raih emas pada pameran antarabangsa

Advertisement

GEORGE TOWN: Kulit limau mandarin dan tempurung kelapa yang diolah semula menjadi penapis air, pemutih gigi dan uncang penghilang bau membolehkan empat pelajar dari SJK(T) Ladang Prye memenangi pingat emas antarabangsa pertama mereka dalam Pameran Reka Cipta dan Sains Antarabangsa (ISIF) 2019.

ISIF 2019 berlangsung di Bali, Indonesia, dari 21 hingga 26 Jun lepas. Keempat-empat pelajar tahun enam itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pagi semalam dan disambut oleh guru serta anggota keluarga, yang turut menghadiahkan mereka dengan jambangan dan kalungan bunga.

Seorang daripada pelajar itu, Harrish Raj Shanker, berkata rekaan mereka diilhamkan daripada tempurung kelapa dan sejumlah besar kulit limau mandarin yang dibuang semasa sambutan Tahun Baharu Cina.

Harrish berkata, inspirasi bagi projek itu berkisar tentang langkah untuk mengurangkan bahan buangan alam sekitar dan memberi tumpuan kepada amalan 3R, iaitu mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula.

“Kami mengambil masa sebulan untuk menghasilkan semua projek ini, dan kami mendapat bantuan daripada guru, malah pekerja pembersihan sekolah turut membantu,” katanya kepada pemberita di sini.

Harrish turut merakamkan penghargaan kepada rakan sepasukannya, Harchana Changaiah, Siti Zumaidah Abdul Rahman dan Theva Tharsini Seekan, yang memberi sumbangan kepada projek itu.

Sementara itu, guru sains mereka, N Pugeneswari berkata pelajar berkenaan turut mengemukakan projek sekolah mereka bagi edisi ketiga Ekspo Teknologi dan Reka Cipta SIRIM (Si2TE), yang berlangsung pada April tahun ini di Kedah.

Pugeneswari berkata pada masa itu, mereka hanya menghasilkan pemutih gigi dan uncang penghilang bau bagi Si2TE, dan kedua-dua projek itu membolehkan mereka membawa pulang pingat emas.

“Hanya apabila menyertai  ISIF barulah pelajar ini mencipta sistem penapis air,” katanya. — Bernama

Advertisement