Anda di sini

Dadah: Wanita Indonesia antara tiga ditahan di Limbang

Advertisement
Dadah yang dirampas dari suspek-suspek pada Isnin
Dadah yang dirampas dari suspek-suspek pada Isnin


LIMBANG: Seorang wanita warga Indonesia dan pasangannya warga tempatan ditahan selepas kegiatan mereka menjadikan sebuah hotel sebagai sarang untuk menyalahgunakan dadah dihidu polis pada Isnin.

Pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang membuat tangkapan ke atas wanita, 30 dan pasangannya, 35 pada pukul 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kedua-dua suspek ditahan ketika berada di dalam sebuah bilik hotel.

"Hasil pemeriksaan di badan lelaki tersebut, kita menjumpai satu bekas tin di dalam poket sebelah kanan seluar yang dipakai olehnya.

"Pemeriksaan lanjut dalam bekas tin tersebut, kita menjumpai satu peket plastik yang di dalamnya berisi tiga peket plastik dan satu tiub straw yang berisi dadah syabu dan satu peket plastik yang berisi dua biji pil disyaki dadah," katanya kepada media hari ini.

Abang Zainal berkata pemeriksaan lanjut di dalam bilik tersebut menjumpai satu lagi beg kecil mengandungi satu peket plastik berisi dua biji pil disyaki dadah.

Jelas beliau dadah jenis syabu seberat 3.6 gram bernilai RM300 dan empat biji pil ecstasy seberat 1.5 gram bernilai RM200 dirampas dalam operasi itu.

" Hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapat kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Manakala suspek lelaki mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau dan mereka akan ditahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam operasi sama, Abang Zainal memberitahu seorang lagi penganggur 49, ditahan di depan lobi sebuah hotel di sini pada pukul 1 tengah hari.
 
"Hasil pemeriksaan tubuh badan ke atas suspek lelaki itu, kita merampas satu kotak rokok di poket hadapan sebelah kiri seluar yang dipakai oleh suspek.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kotak rokok, kita menjumpai lima tiub straw berwarna hijau yang berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu," katanya lagi.

Suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah turut positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine dan akan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.


 

  • oleh
  • Advertisement