Anda di sini

Bincang perkembangan bola sepak

Advertisement
 Posa mengetuai Exco FAS mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, petang kelmarin.
KUNJUNGAN HORMAT: Posa mengetuai Exco FAS mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, petang kelmarin.

MIRI: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg kelmarin.

Naib Presiden FAS, Mohd Saif Jubaidi berkata kunjungan hormat itu bagi mendedahkan perkembangan terkini berkaitan bola sepak di Sarawak.

Menurutnya, beberapa perkara turut dipanjangkan kepada Abang Johari terutamanya dalam isu berkaitan pembangunan bola sepak khasnya Persatuan Bola Sepak Bahagian-Bahagian di Sarawak.

Antaranya ialah pihaknya memohon agar kerajaan negeri meluluskan permohonan pemasangan lampu limpah di Stadium Terbuka Miri.

Manakala bagi Bahagian Bintulu pula, pemohonan untuk menaik taraf kemudahan stadium sementara bagi Bahagian Kapit pemohonan sebidang tanah untuk padang bola sepak.

“Sepertimana yang kita sedia maklum, Miri telah dipilih menjadi tuan rumah bagi Piala Presiden 2019 yang sedang berlangsung ketika ini.

“Kita amat berharap kemudahan di Stadium Terbuka Miri dinaik taraf termasuk pemasangan lampu limpah bagi membolehkan skuad Sarawak B bermain pada sebelah malam,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Menurutnya, pada kempen Piala Presiden 2019, pasukan Sarawak B juga telah mengharungi perlawanan pada sebelah malam di gelanggang lawan.

Sehubungan itu, jika kemudahan lampu limpah dapat dipasang di Stadium Terbuka Miri maka perlawanan pada sebelah malam juga boleh dilakukan.

“Pemain-pemain kita juga boleh melakukan latihan pada sebelah malam seterusnya menyesuaikan mereka dengan perlawanan yang diterangi lampu limpah,” jelasnya.

Di samping itu, pihaknya juga turut mengemukakan pemohonan agar kerajaan negeri mempertimbang membina padang rumput tiruan pertama di Miri.

“Kita juga telah menghantar pemohonan agar kemudahan padang rumput tiruan di Miri bagi melengkapkan fasiliti bola sepak di Utara Sarawak,” katanya.

Menurutnya, dalam misi Sarawak menjadi kuasa besar sukan bola sepak maka penyediaan fasiliti yang lengkap dan berkualiti haruslah diberi keutamaan.

Sementara itu, kunjungan hormat FAS itu diketuai oleh Presidennya, Datuk Posa Majais bersama Exco FAS serta ahli-ahli gabungan bahagian.

  • oleh
  • Advertisement