Anda di sini

Benarkan anak tinggal kampung untuk belajar di bandar

Advertisement
YUSOF (tiga kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima.
YUSOF (tiga kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima.

KOTA KINABALU: Ibu bapa khususnya dari pedalaman diharap membenarkan anak mereka untuk menuntut ilmu di luar kawasan kampung masing-masing.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Yusof Yacob berkata, ia perlu bagi memberi ruang kepada anak masing-masing mencapai tahap potensi sepenuhnya dalam bidang pendidikan seterusnya mampu mengisi kekosongan dalam pasaran kerja.

"Tidak dinafikan ramai ibu bapa dari kawasan luar bandar yang tidak membenarkan anak mereka menuntut ilmu jauh dari kampung halaman.

"Kita juga tidak dapat salahkan ibu bapa kerana banyak stigma negatif yang diperolehi mereka berkenaan pelbagai aktiviti negatif berlaku di bandar.

"Mereka takut gejala negatif berkenaan mampu mempengaruhi anak masing-masing," katanya ketika merasmikan Majlis Graduasi SAC3 Academy 2019, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, peluang pekerjaan tidak hanya terletak di kampung sahaja, sebaliknya peluang itu lebih besar di bandar serta kawasan lain.

Katanya, ibu bapa perlu sanggup berkorban demi memastikan peluang yang setimpal mampu dinikmati anak masing-masing.

"Saya juga terkilan terdapat dalam kalangan ibu bapa tidak kisah mengenai kehidupan anak mereka sehingga menyebabkan terlibat dalam aktiviti tidak sihat.

"Perkara ini sekiranya tidak dibendung awal, ia akan menjadi masalah dalam masyarakat. Ambilah tindakan bertanggungjawab dengan mengambil berat terhadap anak masing-masing.

"Galakkan anak anda menjadi usahawan dan bukan hanya mencari pekerjaan," katanya.

Dalam pada itu, Yusof turut menyarankan ibu bapa agar menasihatkan anak mereka untuk mengambil kursus atau latihan yang mempunyai keperluan dalam pasaran kerja.

Katanya, institusi juga dinasihatkan agar boleh menyediakan kursus yang sesuai dengan keperluan industri pada ketika ini.

RAKAMAN gambar kenangan para penerima sijil bersama tetamu kehormat.
RAKAMAN gambar kenangan para penerima sijil bersama tetamu kehormat.

"Ini penting bagi memastikan anak-anak muda dilengkapkan kemahiran yang selaras dengan keperluan industri pada masa ini.

"Kursus kreatif yang diambil oleh para graduan hari ini adalah salah satu kemahiran yang mempunyai pasaran kerja luas," katanya.

Dalam majlis yang sama, seramai 106 graduan telah menerima sijil tamat pengajian mereka dalam bidang Artis Multimedia Animasi, Artis Multimedia Visual, Produksi Filem (Penggambaran) serta Perantis dan Perantis Lanjutan.

  • oleh
  • Advertisement