Anda di sini

Peruntukan lebih besar untuk Bajet 2020 Sarawak - Abang Jo

Advertisement
Abang Johari memukul beduk sebagai simbolik perasmian Majlis Sambutan Gawai Raya Yayasan Sarawak 2019 hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari memukul beduk sebagai simbolik perasmian Majlis Sambutan Gawai Raya Yayasan Sarawak 2019 hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyediakan peruntukan lebih besar untuk Bajet 2020 yang bakal dibentangkan pada hujung tahun ini. 

Berucap pada Majlis Sambutan Gawai Raya Yayasan Sarawak 2019 di Dewan Jamilah, Wisma Adenan Yayasan Sarawak di sini hari ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari  Tun Openg berkata bagaimanapun masih terlalu awal untuk beliau mendedahkannya sekarang. 

“Jangan risau kita tidak akan bankrap kerana perbelanjaan kewangan kita sangat kukuh dan kuat. 

“Dan saya perlu mencari lebih banyak aliran pendapatan dan percayalah, saya ada beberapa cara untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan untuk Sarawak,” katanya. 

Pada majlis itu, Abang Johari yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak turut melancarkan Sistem Pengurusan Bantuan Komuniti Yayasan Sarawak (YSCAMS). 

YSCAMS yang dilancarkan hari ini adalah seperti mana dijanjikan oleh Abang Johari kepada anak Sarawak yang menuntut di luar Sarawak. 

“Dulu bantuan seperti ini tidak ada tetapi kerana kita ada sumber kewangan jadi kita kongsikan dengan pelajar kita. 

“Setidaknya bantuan subsidi tiket penerbangan RM300 yang dibayar dua kali setahun ini dapat meringankan beban mereka untuk kembali menyambut perayaan bersama keluarga,” ujarnya. 

Pada majlis itu, Abang Johari turut memberi penghargaan kepada Yayasan Sarawak yang telah banyak memainkan peranannya khusus dari sudut pembangunan pendidikan. 

“Hari ini fungsi Yayasan Sarawak semakin bertambah dan sebab itu dari tahun ke tahun Kerajaan Negeri telah menambah dana kepada Yayasan Sarawak supaya dapat memberikan sumbangan ke arah pembangunan masyarakat selain biasiswa dan pinjaman,” katanya. 
 

  • oleh
  • Advertisement