Anda di sini

Kerani didenda RM5,000 dera anak tiri

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Seorang kerani syarikat swasta didenda RM5,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mendera anak lelaki tirinya, Februari lepas.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman terhadap bapa tiri berusia 32 tahun itu selepas dia mengaku bersalah atas  pertuduhan melakukan penderaan terhadap anak tirinya berumur lima tahun, sehingga menyebabkan kecederaan benjol, bengkak dan lebam di bahagian kepala sebelah kiri dan kesan merah di bahagian mata sebelah kanan.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Cheras, pada 10 pagi, 17 Februari lepas mengikut Seksyen 3 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal dengan mempertimbangkan perbuatan tersebut yang dilakukan terhadap anak tirinya sendiri.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Amin Abdullah merayu hukuman ringan kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga termasuk seorang isteri yang  sarat mengandung dan tiga anak yang masih kecil.

“Mangsa kini berada di bawah jagaan ibu saudaranya,” kata peguam itu.

Mengikut fakta kes, ibu mangsa melihat mangsa dimarahi bapa tirinya kerana tidak menjaga adiknya yang terjatuh dari kerusi dan menyebabkan lebam di mata kiri adik mangsa. 

Tertuduh kemudiannya keluar rumah bersama mangsa dan adiknya untuk membeli ais bagi menuam lebam tersebut dan sementara menunggu lif, tertuduh sekali lagi memarahi dan menampar mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh di tangga dan kepala terhantuk ke dinding. 

Pada 25 Februari lepas, mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan dan doktor mendapati mangsa telah didera lalu membuat laporan polis serta menyatakan ibu mangsa tidak hadir ke hospital apabila dihubungi. - Bernama 


 

Advertisement