Anda di sini

Jangan putus asa, jadikan cabaran sebagai dorongan

Advertisement
MATBALI merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian pengusaha sawit yang menyertai program itu.
MATBALI merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian pengusaha sawit yang menyertai program itu.

BEAUFORT: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan Matbali Musah mengajak pengusaha tanaman sawit di kawasan ini supaya tidak berputus asa dengan perusahaan mereka.

Beliau berkata, walaupun sebahagian pengusaha berdepan pelbagai cabaran masa kini namun ia seharusnya tidak menjadi alasan dan penghalang untuk mereka tidak mengusahakannya dengan aktif.

Justeru, katanya, cabaran yang timbul harus dijadikan sebagai dorongan bagi memastikan industri sawit di negeri ini terus utuh dan pada masa sama menyumbang kepada pembangunan negara.

"Jangan berputus asa dan jangan jadikan cabaran sebagai alasan untuk mengurangkan produktiviti. Kita perlu berfikiran lebih kreatif bagi mendepani masalah ini kerana saya yakin setiap cabaran pasti ada hikmahnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada pekebun kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan di Dewan Pa Musa, di sini.

Dalam pada itu, Matbali turut mengingatkan para peserta yang menyertai program pensijilan MSPO supaya memanfatkan sebarang ilmu yang dikongsikan menerusi program itu demi pembangunan industri sawit.

Beliau berkata, dengan adanya sijil MSPO itu, para pengusaha terutama pekebun kecil dapat meningkatkan lagi kualiti sawit menerusi amalan pertanian dan garis panduan yang ditetapkan.

Tambahnya, ia juga secara tidak langsung menjadikan sawit Malaysia sebagai pilihan utama dalam pasaran antarabangsa kerana produk yang mendapat pensijilan MSPO lebih mampan dan mesra alam.

SEBAHAGIAN kakitangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merakamkan gambar kenangan bersama Matbali.
SEBAHAGIAN kakitangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merakamkan gambar kenangan bersama Matbali.

"Kelebihan MSPO adalah ia akan memanfaatkan industri itu sendiri sekali gus menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan utama di peringkat antarabangsa.

"Pensijilan ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran pekebun kecil mengenai perlindungan alam sekitar," katanya.

  • oleh
  • Advertisement