Anda di sini

15 jenazah Orang Asli dikebumi secara Islam

Advertisement
 Kesemua 15 jenazah Orang Asli suku Bateq disembahyangkan di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kuala Koh, Gua Musang semalam. — Gambar Bernama
DISEMADI SEMULA: Kesemua 15 jenazah Orang Asli suku Bateq disembahyangkan di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kuala Koh, Gua Musang semalam. — Gambar Bernama

GUA MUSANG: Jenazah lima Orang Asli suku Batek yang meninggal dunia dipercayai akibat demam campak, disembahyangkan di Masjid Tengku Faiz Petra, Gua Musang, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh, semalam.

Sembahyang jenazah itu diimamkan, Imam Othman Saufi bersama lebih 20 wakil pelbagai jabatan dan agensi kerajaan daerah ini, termasuk Pegawai Agama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Murtadha Abdullah.

Sebelum itu, 15 jenazah Orang Asli terbabit dibawa keluar dari Bilik Forensik Hospital Gua Musang jam 8.30 pagi, dibawa ke masjid itu untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke Kampung Kuala Koh bagi urusan pengebumian.

Jenazah terbabit ialah Poja Jong, 21, Romi Hamdan, 29, Nazri Rosli, 3, Jaid Keladi, 55, Safia Papan, 18, Fayah Papan, 20, Din Hamdan, 18, Mek Nab Tebu, 63, Leha Hamdan, 26, Mohd Salleh Khaizan, 1, Jelik Jong, Puspa Lee, 5, Amir Lee, 1, Haika Rahim, 22, dan Farah Rahim, 20.

Wabak yang melanda masyarakat Orang Asli Suku Batek sejak lebih sebulan lalu itu, meragut nyawa 15 orang mangsa dari Kampung Kuala Koh, manakala 112 lagi dijangkiti demam campak dan menerima rawatan di klinik berhampiran.

Sebanyak 14 daripada 15 jenazah itu terpaksa digali semula kubur mereka, termasuk yang ditanam secara adat kaum itu, untuk dibedah siasat di HGM bagi mencari punca jangkitan.

Murtadha ketika bercakap kepada media selepas sembahyang jenazah berkata, MAIK awal lagi dilantik untuk menguruskan semua jenazah terbabit bermula sembahyang jenazah hingga dikebumikan.

Katanya, semua urusan itu selepas proses bedah siasat selesai di HGM semalam ditanggung MAIK dan semua urusan itu berjalan ikut jadual.

Beliau berkata, sebelum itu, kesemua jenazah berkenaan juga disemak status mereka sama ada peluk Islam atau tidak, tetapi selepas disahkan perkara itu bahawa mereka semuanya Islam, diatur pengebumian ikut Islam.

“Pengebumian jenazah mengikut Islam juga mendapat kebenaran keluarga mangsa, setelah perbincangan bersama dijalankan baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Supt Mohd Taufik Maidin berkata, Kampung Kuala Koh masih berada dalam kawasan zon merah.

“Oleh itu, mereka yang tidak berkenaan tidak dibenarkan masuk ke kampung sehingga ia benar-benar selamat daripada jangkitan wabak itu,” katanya lagi. — Bernama

Advertisement