Anda di sini

11 maut dalam nahas pesawat di Hawaii

Advertisement
 Kepulan asap kelihatan sejurus selepas nahas pesawat itu seperti yang dapat dilihat dari Taman Pantai Teluk Kaiaka di Haleiwa, Hawaii pada Jumaat lalu dalam imej daripada media sosial. — Gambar Reuters
MALANG: Kepulan asap kelihatan sejurus selepas nahas pesawat itu seperti yang dapat dilihat dari Taman Pantai Teluk Kaiaka di Haleiwa, Hawaii pada Jumaat lalu dalam imej daripada media sosial. — Gambar Reuters

WASHINGTON: Sebuah pesawat ringan terhempas di utara Hawaii, mengorbankan kesemua 11 orang di dalamnya, menurut pihak berkuasa kelmarin.

Pesawat dwijentera King Air terhempas pada petang Jumaat berhampiran lapangan terbang di North Shore di pulau Oahu, menurut kepada Jabatan Pengangkutan (HDOT) di Hawaii.

“Pihak berkuasa telah mengesahkan terdapat 11 orang di dalam pesawat yang terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Dillingham dan tiada mangsa yang terselamat,” menurut jabatan tersebut dalam Twitter, selepas melaporkan pada awalnya mengenai sembilan kematian.

Beberapa inspektor persekutuan sedang melakukan siasatan, tambah HDOT.

Ketua Jabatan Bomba Honolulu Manuel P. Neves menyatakan pesawat itu merupakan pesawat terjun udara yang terhempas pada jam 6.30 petang waktu tempatan semasa berlepas, menurut stesen berita tempatan Hawaii Now.

Rakaman TV menunjukkan asap berkepul-kepul di udara dari kebakaran bangkai pesawat tersebut.

Menurut kepada laman sesawangnya, Lapangan Terbang Dillingham yang mempunyai satu laluan sahaja pada dasarnya adalah untuk kegunaan operasi terjun udara dan peluncur komersil.

Datuk Bandar Honolulu Kirk Caldwell menyatakan dalam Twitter bahawa beliau sedang mengikuti sepenuhnya perkembangan, dan menyampaikan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa. — AFP

Advertisement