Anda di sini

Syarikat Malaysia bangunkan kad perniagaan digital pertama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Berapa ramai daripada kita memberi perhatian dan menyimpan kad perniagaan yang kita terima?

Dalam senario ini, syarikat teknologi maklumat tempatan melihat peluang untuk mentransformasi kad perniagaan kepada platform digital, yang membolehkan orang menukar maklumat profil perniagaan mereka di mana saja, tanpa mengorbankan alam sekitar.

Pengasas Code Zero Sdn Bhd Amano Young berkata aplikasi mudah alih (app) yang dinamakan ZERO BrandCard membolehkan pengguna membuat kad perniagaan digital mereka sendiri pada platform susun atur yang dinamik dalam aplikasi itu sendiri.

Young mendakwa syarikat itu adalah yang pertama mencipta kad perniagaan seumpama itu yang membolehkan pengguna menghubungkan platform media sosial mereka, laman web dan pautan luar lain pada kad itu dan bertukar dengan orang lain melalui teknologi gelombang bunyi.

“Tiada kad digital seumpama itu yang membolehkan pengguna membuat reka bentuk mereka sendiri, dan berkongsi kad mereka menggunakan teknologi gelombang bunyi.

“Teknologi ini membolehkan gelombang frekuensi tinggi, di mana telinga manusia tidak dapat mendengar bunyi itu, dan gelombang itu akan memindahkan data maklumat kad dari telefon ke telefon, yang hanya mengambil masa beberapa saat,” katanya kepada Bernama pada festival Malaysia Tech Week 2019 yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Aplikasi mudah alih itu boleh dimuat turun daripada App Store atau Play Store secara percuma.

Sebagai langkah keselamatan untuk melindungi pengguna daripada penipuan, kad digital itu boleh disahkan dengan Pendaftar Syarikat negara berkenaan.

Young berkata kad itu juga boleh dikongsi dengan pengguna bukan aplikasi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel, WhatsApp, atau media sosial.

Aplikasi ini dilengkapi dengan storan Cloud sendiri, yang membolehkan pengguna menyimpan dan menguruskan semua kad digital yang dikumpulkan dengan yuran langganan bulanan bermula dari AS$3.99 (AS $1=RM4.14) hingga AS$29.99.

Beliau berkata langganan itu berdasarkan jumlah kad storan yang dikumpul, dengan 500 kad terkumpul yang pertama tidak dikenakan caj.

“Kaji selidik menunjukkan bahawa sembilan daripada 10 kad perniagaan dibuang selepas seminggu. 15 batang pokok ditebang setiap minit untuk mencetak kad perniagaan kertas, namun orang membuangnya.

“Kami mahu mengubah budaya ini dan mengurangkan sampah,” kata Young.

Selepas pelancaran awal pada Januari, beliau berkata syarikat itu berharap dapat mencapai 350 juta pengguna berdasarkan pelan perniagaan enam tahun.

“Tahun ini, kami memberi tumpuan kepada pasaran Malaysia yang kami kenal dan biasa. Pada tahun kedua, kami akan berkembang ke Asia Pasifik. Kami sudah berbincang dengan rakan kongsi berpotensi di India dan Jepun, “ katanya mengenai syarikat yang dimulakan pada tahun 2017.

Menjelang suku pertama tahun depan, beliau berkata syarikat itu juga akan melancarkan perkhidmatan dalam aplikasi yang dikenalil ‘Z-Market’, yang membolehkan pengguna mendapatkan token yang dinamakan  ‘Zent’ bagi setiap kad digital yang dikumpulkan.

“Zent boleh digunakan untuk pertukaran bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan di pasaran,” katanya. — Bernama

Advertisement