Anda di sini

PPBM Silam tidak terima ahli Umno senarai hitam

Advertisement
HAKIM menerima borang kemasukan daripada salah seorang ahli.
HAKIM menerima borang kemasukan daripada salah seorang ahli.

LAHAD DATU: Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Silam Abdul Hakim Ghulam Hassan berkata ahli Umno yang telah disenarai hitam tidak akan diterima menjadi ahli.

Menurutnya, tindakan itu bagi memastikan parti dapat mencapai matlamat penubuhan demi agama, nusa dan bangsa.

Beliau amat positif melihat perkembangan dan sambutan keahlian yang menggalakkan di Silam.

"Jumlah yang telah berdaftar ahli seramai 3,000 dan pada hari ini lebih kurang 2,000 orang telah menyerahkan borang keahlian, (selepas ini) ia dijangka akan bertambah," katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM Bahagian Silam di Dewan Masyarakat Tun Mustapha, pada Ahad.

Melihat pada perkembangan itu, beliau yakin dengan aktiviti yang akan diadakan sepanjang tahun akan menarik lagi 10,000 keahlian sehingga akhir tahun ini.

Ketika berucap, Hakim berkata PPBM yang telah masuk ke Sabah pada 6 April 2019 bukanlah satu tindakan bertujuan menggugat mana-mana parti.

"Akan tetapi ia untuk memberi kerjasama kepada parti kerajaan Sabah.

"Parti Warisan Sabah (Warisan) juga telah memberi kerjasama kepada kerajaan Persekutuan," katanya.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi yang juga Ketua Warisan Bahagian Silam.

Pada 14 Mei 2019, Hakim dilantik menjadi Ketua Penaja PPBM Bahagian Silam oleh Pengerusi PPBM Tun Mahathir Mohamad.

Timbalannya Yusuf Sarangit, Naib Aljen Joni, Ketua Serikandi Mizma Appehdullah, Ketua Armada Mohd Norazli Hasan, Setiausaha Mohd Said dan Bendahari Abdul Rahim.

  • oleh
  • Advertisement