Anda di sini

Polis Hong Kong kecam sekatan ‘haram’ ke atas ibu pejabatnya

Advertisement
 Seorang pencuci mengikis tanda sementara anggota polis berdiri di depan grafiti yang ditutup pada dinding di luar ibu pejabat polis di Hong Kong, semalam. — Gambar AFP
DIKAWAL KETAT: Seorang pencuci mengikis tanda sementara anggota polis berdiri di depan grafiti yang ditutup pada dinding di luar ibu pejabat polis di Hong Kong, semalam. — Gambar AFP

HONG KONG: Polis Hong Kong semalam mengecam sekatan “haram” ke atas ibu pejabatnya selepas kepungan selama 15 jam oleh penunjuk perasaan antikerajaan untuk menuntut peletakan pemimpin pro-Beijing di bandar raya tersebut.

Ribuan penunjuk perasaan yang kebanyakannya muda mengelilingi bangunan sepanjang hari Jumaat sehingga ke awal pagi semalam, manifestasi terbaharu bagi demonstrasi marah yang berlaku di Hong Kong.

Hab kewangan antarabangsa itu telah digegarkan oleh pergolakan politik terburuk sejak ia diserahkan kepada China pada 1997.

Jutaan berarak pada bulan ini untuk menentang cadangan bagi undang-undang yang akan membenarkan ekstradisi ke tanah besar China.

Anggota polis turut menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah pada minggu lepas untuk meleraikan penunjuk perasaan dalam satu lagi demonstrasi besar-besaran di luar parlimen bandar raya itu, yang memburukkan lagi kemarahan yang berleluasa terhadap pasukan polis.

Pencetus gelombang protes sekarang adalah cubaan oleh Ketua Eksekutif Carrie Lam untuk meluluskan undang-undang ekstradisi yang disokong oleh Beijing, yang beliau kini sudah tangguhkan ekoran bantahan awam yang begitu besar sekali.

Namun demonstrasi sejak itu sudah bertukar menjadi satu pergerakan yang lebih luas menentang pentadbiran Lam dan Beijing selepas kebebasan politik semakin berkurangan saban tahun.

Ketua protes merancang untuk mengadakan satu lagi rapat umum besar-besaran pada 1 Julai tetapi kumpulan diketuai pelajar yang berkomunikasi menerusi aplikasi pesanan rahsia sudah mula menerima tindakan tentang awam yang spontan dan bergerak pantas.

“Kita perlu mengalir seperti air,” kata seorang penunjuk perasaan dipanggil Chris kepada AFP, sambil mendukung falsafah terkenal daripada bintang seni pertahanan diri dan legenda Hong Kong, Bruce Lee.

Sewaktu demonstrasi pada Jumaat di luar ibu pejabat polis, penunjuk perasaan yang ramai menyekat pintu masuk, menutup kamera litar tertutup (CCTV) dengan pita, dan menengking anggota polis.

Ramai melaung “lepaskan orang benar” dan “samseng polis memalukan” yang merujuk kepada mereka yang ditahan sewaktu keganasan pada minggu lepas di antara penunjuk perasaan dengan anggota polis.

Kumpulan pembangkang menuntut siasatan ke atas dakwaan mengenai kekejaman polis serta pembebasan mereka yang ditahan dalam rusuhan, selain peletakan Lam dan pembatalan tetap bagi rang undang-undang ekstradisi.

Pegawai polis tidak keluar dari bangunan mereka yang dikawal ketat sepanjang Jumaat.

Protes yang bising berlangsung aman namun tidak terkecuali telur dilontar dan penunjuk perasaan memancarkan pen laser ke arah tingkap.

Orang ramai akhirnya bersurai pada awal pagi semalam kira-kira 15 jam selepas berdemonstrasi.

Dalam satu kenyataan pada pagi semalam, polis menyifatkan tunjuk perasaan itu sebagai “haram, tidak rasional dan tidak munasabah”, selain memberitahu panggilan kecemasan terganggu dan 13 anggota kakitangan “dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan”.

Ia tidak menyatakan bagaimana kakitangan tersebut cedera.

Polis mempertahankan penggunaan gas pemedih mata dan peluru getah pada 12 Jun lalu sebagai tindakan yang perlu dan seimbang untuk menangani penunjuk perasaan yang ganas dan cuba memecah masuk ke dalam parlimen bandar raya.

Namun kumpulan hak asasi manusia Amnesty International berkata Jumaat ia sudah mengesahkan beberapa insiden keganasan polis yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Walaupun pemerintahan Hong Kong dikembalikan oleh Britain kepada China pada 1997, ia masih ditadbir secara berasingan di bawah dasar yang dikenali sebagai “satu negara, dua sistem”.

Bandar raya itu menikmati kebebasan yang tidak kelihatan di tanah besar tetapi ramai penduduk cemas sejak beberapa tahun lalu oleh apa yang mereka rasa adalah cengkaman yang semakin ketat oleh Beijing.

Pemimpin Hong Kong tidak dipilih dan seruan bagi pengundian sejagat tidak diendahkan.

Tentangan terhadap rang undang-undang ekstradisi berjaya menyatukan seluruh lapisan masyarakat di Hong Kong dengan badan undang-undang dan perniagaan, tokoh agama dan aktivis terkemuka yang bersuara untuk menentangnya.

Kerajaan China menyokong rang undang-undang ekstradisi itu, dan menuduh penganjur protes bersubahat dengan kerajaan Barat.

Namun Beijing berkata selepas penggantungan rang undang-undang itu bahawa ia menghormati dan memahami keputusan tersebut. — AFP

Advertisement