Anda di sini

Suspek judi prabayar dalam talian direman dua hari

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan perjudian jenis prabayar dalam talian diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman dua hari.

Suspek, 37, dari Batu 10 Jalan Penrissen, Kuching diperintahkan supaya menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut peruntukan 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut keterangan pegawai penyiasat Sarjan Johnny Mathew Jang ketika mengemukakan permohonan reman memberitahu sepasukan polis diketuai Inspektor Mizlan Abdul Ghani dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah premis di Centre Point 2 untuk mengesan kegiatan perjudian iaitu judi jenis prabayar dalam talian.

Dalam pemeriksaan yang dilakukan sekitar jam 4.45 petang, 19 Jun lalu, polis telah menahan seorang lelaki yang sedang menjalankan kegiatan perjudian jenis prabayar dalam talian di premis tersebut.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas satu unit telefon bimbit dan wang tunai RM165 dari milik suspek untuk dijadikan barang kes.

Tangkapan dan rampasan dibuat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Dalam permohonan lanjutnya, Johnny berkata tempoh reman empat hari ke atas suspek amat diperlukan untuk membolehkan polis mengesan dalan di sebalik kegiatan perjudian itu.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk mendapatkan laporan pakar judi, justeru membebaskan suspek lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman dua hari sehingga 22 Jun ini.

Sementara dalam satu kes berasingan, seorang gadis direman dua hari kerana disyaki terlibat kes serupa.

Suspek, 20, dari Pujut Corner telah ditangkap hasil pemeriksaan polis ke sebuah premis di kawasan Centre Point di sini kerana disyaki terlibat kegiatan perjudian jenis prabayar atas talian.

Semasa tangkapan dibuat, suspek yang bekerja di premis itu sedang menjalankan kegiatan perjudian jenis prabayar atas talian.

Dalam permohonan remannya, pegawai penyiasat Inspektor Arjunan Sakaran memohon agar suspek direman empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan.

Mahkamah hanya membenarkan reman dua hari ke atas suspek sehingga 22 Jun ini.

Advertisement