Anda di sini

Penagih berulang kena lima tahun, satu sebat

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun, dikenakan penjara lima tahun dan satu sebat atas kesalahan berulang menggunakan dadah.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Deny Nuramri yang tidak diwakili peguam selepas mengaku salah.

Tertuduh didapati positif menggunakan dadah pada 31 Mac jam 11 pagi di Jabatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Balai Polis Kota Kinabalu di sini.

Atas kesalahan itu, Deny disabitkan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dihukum mengikut Seksyen 39C (1)(a) akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan penjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun, serta dikenakan tidak melebihi tiga sebat.

Selesai tempoh pemenjaraan hendaklah dikenakan pengawasan polis antara dua tahun hingga tiga tahun.

Mahkamah juga dimaklumkan tertuduh mempunyai dua sabitan lampau pada 2015 atas kesalahan sama.

Semasa rayuan, tertuduh memohon hukumannya diringankan dan dikira dari tarikh tangkap.

"Saya ada dua anak yang masih kecil, seorang daripada mereka tidak dapat bersekolah tabika pada tahun ini kerana saya berada di sini (penjara)," katanya.

Namun Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip menegaskan hukuman berat harus dikenakan.

Elsie memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap, selepas tamat tempoh pemenjaraan, tertuduh dikenakan dua tahun pengawasan polis.

  • oleh
  • Advertisement