Anda di sini

Mencederakan: Pesalah berulang dipenjara lima tahun

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang pesalah berulang dikenakan penjara lima tahun, oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan mencederakan seorang lelaki pada dua tahun lalu.

Hakim Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Carlsten Freddie Japat, 37, selepas mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan setelah selesai perbicaraan penuh.

Dalam penghakiman itu, beliau mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes bagi elemen kesalahan rompak berkumpulan bersenjata mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Namun mendapati elemen bagi kesalahan mencederakan dan mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Tertuduh bersama dengan dua individu yang masih bebas mencederakan Chong Vun Wah, 39, dengan menggunakan sebatang besi paip, pada 23 Oktober 2017 jam 4.30 pagi di sebuah rumah, Lorong Kebusak Perdana, Kepayan.

Jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara selama 10 tahun dan denda atau sebat, atau dua daripada hukuman terbabit.

Sepanjang perbicaraan dijalankan, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi untuk memberikan keterangan, manakala seorang saksi iaitu tertuduh sendiri untuk pihak pembelaan.

Mahkamah memerintahkan Carlsten menjalani hukuman bermula dari tarikh sabitan.

Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip mewakili pihak pendakwaan dan peguam Zul Hamri Julhan mewakili tertuduh.

  • oleh
  • Advertisement