Anda di sini

Lelaki terlibat keganasan dipenjara empat bulan, satu sebat

Advertisement
MOHAMMAD Alif diiringi oleh anggota polis dari cawangan Khas Bahagian Anti Pengganas (E8) menuju ke lokap Mahkamah Kota Kinabalu.
MOHAMMAD Alif diiringi oleh anggota polis dari cawangan Khas Bahagian Anti Pengganas (E8) menuju ke lokap Mahkamah Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti keganasan dipenjara empat bulan, dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana memasuki negeri ini tanpa permit yang sah.

Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Alif Suhari, 21, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Indonesia itu didapati masuk ke negeri ini tanpa dokumen diri yang sah di Lokap Berpusat Kota Kinabalu, jam 10 pagi pada 27 Mei lepas.

Untuk itu, dia disabit di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1958/63 yang boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya dan tidak lebih 6 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, tertuduh memberitahu mahkamah bahawa sebelum ditahan, dia telah menetap di Sabah sejak 8 bulan lalu dan bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit di sini.
Timbalan Pendakwaraya Nureen Natasha Mohd Raffie memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dirujuk ke Imigresen setelah selesai menjalani hukuman.

Sebelum ini, Mohammad Alif ditangkap pada 26 Mei lepas, jam 1.15 petang dalam sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Keritan Laut, Keningau.

Menurut sumber, tertuduh dikatakan bersama seorang suspek yang kini masih bebas terlibat dalam aktiviti keganasan serta merancang untuk berjihad di Syria.

Dalam mahkamah yang sama, 15 lelaki Pendatang Tanpa Izin (PTI) berusia lingkungan 19 hingga 46 tahun mengaku bersalah atas kesalahan yang sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman ke atas kesemua tertuduh empat bulan penjara.
Tujuh daripada mereka dikenakan satu sebatan setiap seorang, seterusnya dirujuk ke Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Cif Inspektor Lim Swee Beng, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement